X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang larang sembelih haiwan korban di tempat persendirian

Penyembelihan haiwan korban hanya dibenarkan dilakukan di tempat-tempat yang ditetapkan. - Foto hiasan 123RF
A
A

KUANTAN - Umat Islam di Pahang tidak dibenarkan melakukan penyembelihan haiwan korban sempena Aidiladha di tempat persendirian.

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Pejabat Exco Hal Ehwal Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, penyembelihan haiwan korban hanya dibenarkan dilakukan di tempat-tempat yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, ia sebagaimana ketetapan garis panduan pelaksanaan ibadah korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

"Penyembelihan hanya boleh dilakukan di lima rumah penyembelihan (Abatoir) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di Kuantan, Temerloh, Bentong, Raub dan Lipis.

"Penyembelihan haiwan korban juga boleh dilakukan di rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan JPV," katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, masjid, surau, kandang dan tempat penyembelihan yang mempunyai peralatan serta kemudahan penyembelihan korban juga dibenarkan melakukan penyembelihan, tetapi perlu memohon kebenaran daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing.

Katanya, penyembelih haiwan perlu memiliki Sijil Tauliah Penyembelihan JAIP atau telah mendapat perakuan sebagai penyembelih oleh PAID dan haiwan korban perlu mendapat pengesahan atau permit daripada JPV.

"Bagi proses penyembelihan di masjid, surau dan lain-lain tempat penyembelihan, penganjur perlu menyediakan kandang sekiranya haiwan korban dihantar lebih awal.

"Penganjur juga perlu menyediakan tempat sembelihan yang mempunyai kelengkapan dan kemudahan selain tempat melapah dan membungkus.

"Mereka juga perlu ada kaedah dan menyediakan tempat pembuangan najis, darah dan anggota haiwan yang tidak diperlukan," katanya.

Menurut kenyataan itu, tempat menunggu juga perlu disediakan jika proses agihan daging korban dilakukan di masjid atau surau dengan menandakan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter di tempat penyembelihan, tempat melapah dan tempat agihan.

"Penganjur juga perlu menentukan jumlah bilangan haiwan sembelihan yang sesuai dengan kemampuan tenaga kerja dan keluasan ruang pada hari-hari dibenarkan bagi mengelak kesesakan.

"Sebagai langkah mengawal penularan pandemik koronavirus (Covid-19), jumlah kehadiran pada satu-satu masa sembelihan tidak melebihi 20 orang tertakluk kepada keluasan ruang yang ada," katanya.

Katanya, semua yang hadir perlu mematuhi garis panduan dan tatacara yang disediakan antaranya memakai penutup muka, menggunakan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran.

"Bagi mereka yang ada simptom, bergejala, kanak-kanak dan remaja bawah 15 tahun serta golongan berusia yang menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir ke tempat penyembelihan.

"Pematuhan kepada panduan yang ditetapkan itu akan dipantau secara bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasaan Jaip, JPV, Paid, penganjur dan ahli jawatankuasa masjid atau surau terlibat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf