X

Kindly register in order to view this article
!

Prinsip pertama Rukun Negara cukup jadikan Malaysia makmur

Kuan Chee Heng - Foto FB Kuan Chee Heng
A
A

SHAH ALAM - Setiap prinsip terkandung dalam Rukun Negara mempunyai maksud tersurat dan tersirat yang harus difahami dan dihayati untuk membentuk perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jika setiap rakyat negara ini mempunyai iltizam dalam mempraktikkan konsep yang terdapat dalam falsafah itu, pastinya matlamat Malaysia untuk terus menjadi sebuah negara yang harmoni, berdaya saing dan gemilang akan tercapai pada masa hadapan.

Bagi aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, sekiranya rakyat benar-benar faham, menghayati dan mengamalkan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, ia sudah cukup untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur.

Chee Heng, 57, atau lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang' berkata, jika rakyat yakin dengan apa dijanjikan Tuhan sepertimana diterapkan dalam prinsip pertama Rukun Negara, sudah tentu mereka tidak akan berbuat jahat kerana sikap sedemikian hanya memberi kesan buruk kepada diri dan masyarakat.

“Semua penganut agama diajar ke arah kebaikan. Jika kita sentiasa amalkan ajaran agama, tiada yang buat jahat, dan tidak ada hasad dengki malah saling bertoleransi, Malaysia akan jadi negara aman.

"Rukun Negara sendiri meletakkan Kepercayaan kepada Tuhan paling utama kerana ia sangat menyeluruh.

“Bila kita percaya kepada Tuhan, kita akan jadi orang yang baik kerana Tuhan tidak suruh kita buat jahat. Bila kita baik, kita jadi masyarakat baik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang sering terlibat dengan aktiviti kebajikan tanpa mengira kaum mahupun agama berkata, prinsip Rukun Negara diasaskan selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, dibentuk dalam acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan masih berpegang dengan budaya timur.

Tidak menafikan situasi semasa sering berubah seiring kemajuan teknologi ditambah pula dengan penggunaan meluas media sosial, Chee Heng berkata, senario berkenaan telah menyebabkan isu sensitif seperti soal kaum dan agama mudah ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

Meskipun sentimen kaum kadang kala sering dimomokkan pihak tertentu, beliau percaya, jika masyarakat Malaysia berpaksikan pada prinsip Rukun Negara, tahap perpaduan rakyat Malaysia tetap utuh dan tidak mudah melatah.

“Kita boleh lihat perpaduan rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, semua kaum masing-masing bantu sesiapa yang dalam kesusahan kerana kurangnya orang mengapi-apikan isu perpaduan.

“Daripada prinsip pertama hingga kelima, kita boleh lihat betapa rapinya susunan Rukun Negara. Ia sepatutnya bukan sekadar dihafal semasa perhimpunan di sekolah tapi harus diterapkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Memetik hadis ‘Tidak sempurna iman, jika kau tidur dalam kekenyangan sedangkan jiran tetanggamu menangis kerana kelaparan’ sebagai pegangan, Chee Heng berkata, pengajaran daripada hadis itu memberinya motivasi untuk terus membantu masyarakat yang kesusahan tanpa mengira bangsa mahupun agama. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus