X

Kindly register in order to view this article
!

Penggunaan VMS mudahkan operasi

VMS memastikan keseluruhan jentera KDEBWM masuk ke kawasan yang telah ditetapkan dan kru kontraktor menjalankan tugas dengan baik. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
A
A

INISIATIF KDEB Waste Management (KDEBWM) memasang alat pengesan elektronik, Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS), pada 1,006 jentera miliknya sejak empat tahun lalu terbukti berkesan dalam memudahkan operasi pengurusan sampah dan pembersihan awam di Selangor.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya dapat memantau dan mengawal setiap pergerakan jentera, seterusnya memastikan kesemua jentera itu dapat digunakan secara efisien.

“Sistem ini memastikan keseluruhan jentera kita masuk ke kawasan yang ditetapkan dan kru kontraktor menjalankan tugas dengan baik serta secara tidak langsung kita boleh tahu keupayaan jentera kita.

“Ia bermakna sebaik sahaja kru kontraktor menghidupkan enjin jentera, kita boleh memantau pergerakan jentera mengikut masa tertentu hingga jentera itu balik,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat KDEBWM di Shah Alam baru-baru ini.

Ramli berkata, setiap pergerakan jentera yang dipantau menggunakan VMS akan dikawal di Centralized Command Centre (CCC) yang terletak di Ibu Pejabat KDEBWM.

Ramli Mohd Tahir - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Ramli Mohd Tahir - FOTO MOHD IZARI ROSLI

Katanya, pusat arahan CCC itu mampu menjejaki setiap pergerakan jentera secara langsung dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh diakses secara langsung atau live CCTV,.

“CCC menerima aduan menerusi panggilan telefon, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan aplikasi pintar yang dibangunkan KDEBWM untuk rakyat Selangor iaitu iClean Selangor.

“Aduan disalurkan secara terus kepada penyelia kawasan untuk dimaklumkan kepada kru kontraktor. Aduan hendaklah diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan jika diterima sebelum jam 12 tengah hari, kita akan selesaikan pada hari yang sama,” katanya.

Aplikasi iClean memudahkan 6.3 juta rakyat Selangor termasuk 1.5 juta pembayar cukai untuk membuat pelbagai aduan seperti sampah yang tidak dikutip di depan rumah atau kedai mereka.

Ramli berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi telefon pintar dan orang awam boleh membuat aduan di hujung jari kerana hanya perlu mengaktifkan GPS sebelum mengambil gambar dan terus menghantarnya.

Jelasnya, jika menerima apa-apa aduan pihaknya boleh segera melakukan semakan di dalam sistem sama ada jentera melalui jalan tersebut dan kerja-kerja kutipan sampah telah dilakukan atau sebaliknya.

Peranti

Menurutnya, VMS menjadikan semua operasi KDEBWM sentiasa dalam kawalan dan bermakna pihaknya tidak boleh dibohongi kalau ada aduan yang mengatakan jentera KDEBWM tidak masuk kawasan dan sebagainya kerana kesemua pergerakan jentera boleh dikesan.

“Apa yang bagus tentang peranti ini adalah bila kita anugerahkan kontraktor KDEBWM dengan kerja-kerja sepatutnya. Mereka hanya perlu buat kerja itu mengikut zon yang diarahkan. Saat mereka keluar sahaja dari kawasan mereka, ia akan dikesan oleh sistem kita.

“Ia bermakna kita dapat halang lori kita dibebankan dengan kerja-kerja lain atau kerja-kerja luar. Jadi kebarangkalian mereka menggunakan lori kita untuk buat kerja di PBT lain dapat dielakkan,” katanya.

Ramli memaklumkan, KDEBWM memiliki lapan jenis jentera iaitu Lori Kompaktor, Armroll atau RORO (Roll-on Roll- Off), Mini Kompaktor, Truck Mounted High- Pressure Water Jetter, Truck Mounted Catch Basin Cleaner, RORO Type Portable High Pressure Water Jetter dan Road Sweeper yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM290 juta.

“Sejak empat tahun lalu KDEBWM melaburkan ratusan juta ringgit untuk membeli aset bagi melicinkan operasi harian. Di Selangor, kutipan sampah yang direkodkan 7,000 tan metrik sehari.

“Kita diamanahkan buat kerja ini yang diketegorikan sebagai 3D iaitu dangerous, dirty and difficult. Tak ramai yang boleh buat kerja ini. Kita gabung kepakaran pengurusan dan teknologi terkini untuk menguruskan sampah di Selangor ini dengan baik walaupun dengan harga minimum dan bajet yang rendah,” katanya.

Jelas beliau, jika dibandingkan dengan negeri lain seluruh negara, Selangor menggunakan bajet yang paling rendah dalam pengurusan sampah.

Pergerakan jentera dipantau menggunakan VMS yang akan dikawal secara berpusat di pusat aduan pintar setempat iaitu di CCC yang terletak di Ibu Pejabat KDEBWM, Shah Alam. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Pergerakan jentera dipantau menggunakan VMS yang akan dikawal secara berpusat di pusat aduan pintar setempat iaitu di CCC yang terletak di Ibu Pejabat KDEBWM, Shah Alam. - FOTO MOHD IZARI ROSLI

KDEBWM merupakan syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor yang menguruskan keseluruhan kerjakerja kutipan sampah domestik dan pembersihan awam di seluruh Selangor melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Syarikat itu mengambil alih keseluruhan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor sejak empat tahun lepas dan Rabu lalu merupakan tarikh bersejarah bagi KDEBWM kerana berjaya mengambil alih keseluruhan kerja pengurusan sampah di seluruh negeri itu.

Rancang perkenalkan iClear

Mengenai perancangan masa hadapan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya akan melakukan penambahbaikan pengunaan VMS dan pada masa sama turut merancang untuk memasang peranti baharu pada semua lori KDEBWM yang boleh mengesan sama ada aset itu boleh membawa muatan lebih atau sebaliknya.

“Kita sedang melihat bagaimana peranti ini boleh dipertingkatkan keupayaan agar dapat mengesan sebaik sahaja enjin lori kita dihidupkan, ia dapat mengetahui keadaan enjin dan paras minyak jentera itu supaya aset kita dapat diselenggara dengan baik dan mengikut spesifikasi standard KDEB,” katanya.

Selain itu, katanya, aplikasi iClean akan diperluaskan untuk fasa kedua iaitu iClear yang menjadi aplikasi untuk kerja-kerja pengurusan KDEBWM bagi mengurangkan penggunaan kertas dalam operasi harian.

“Menjadi rutin kita membuat laporan harian kerja di tapak dan laporan itu diserahkan kepada pihak PBT. Jadi dengan adanya iClear, laporan harian boleh dimuat naik ke dalam aplikasi itu tanpa perlu kita hantar laporan cetakan di atas kertas lagi.

“Maknanya, pada masa akan datang walaupun kita dalam industri pengurusan sampah tapi kita berusaha mengurangkan penggunaan kertas supaya lebih efisien dan memudahkan kerja kerana sistem ini boleh diakses di mana-mana sahaja,” katanya

Sementara itu, seorang pengguna iClean, Muhammad Syahmi Nor Mokles, 25, berkata, aplikasi itu sangat mudah digunakan kerana dia hanya perlu menghantar gambar dan sistem itu boleh terus mengesan kedudukan lokasinya untuk tindakan lanjut.

“Saya syorkan semua penduduk Selangor menggunakan aplikasi ini untuk keselesaan kita dan kelestarian alam sekitar,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus