6,005 terima Geran Agropreneur Muda

Che Abdullah (tengah) dan Sharuddin (dua dari kiri) bersama penerima Geran Agropreneur Muda di Bandar Baru Uda, Johor Bahru semalam.
Che Abdullah (tengah) dan Sharuddin (dua dari kiri) bersama penerima Geran Agropreneur Muda di Bandar Baru Uda, Johor Bahru semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 6,005 orang agropreneur muda di seluruh Malaysia menerima Geran Agropreneur Muda (GAM) di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) sejak tahun 2016 sehingga Mei lalu berjumlah RM104.34 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, geran itu bertujuan membantu penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan merangkumi bidang tanaman, perikanan, ternakan dan industri makanan.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama juga, seramai 52 agropreneur muda telah menerima kelulusan pembiayaan Program Agropreneur Muda (PAM) melibatkan peruntukan sebanyak RM3.3 juta.

“Secara keseluruhan, seramai 6,057 agropreneur muda seluruh Malaysia telah menerima kelulusan PAM berjumlah RM107.65 juta bagi tempoh yang sama.

“Saya berharap generasi muda merebut peluang yang disediakan kerajaan bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka dalam bidang pertanian yang kini merupakan sumber kekayaan baharu, sekali gus dapat mengubah kehidupan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah Agropreneur Muda di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr Sharuddin Jamal dan Ketua Pengarah LPNM, Ruhaida Mashhor.

Che Abdullah (kanan) dan Sharuddin menguli keropok lekor sempena Jelajah Agropreneur Muda di Kampung Sungai Danga, Johor Bahru semalam.
Che Abdullah (kanan) dan Sharuddin menguli keropok lekor sempena Jelajah Agropreneur Muda di Kampung Sungai Danga, Johor Bahru semalam.

Sementara itu, Che Abdullah berkata, di Johor seramai 365 orang agropreneur muda telah menerima kelulusan GAM berjumlah RM6.60 juta sejak tahun 2016 sehingga Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

“Untuk tahun 2020, kelulusan GAM Fasa 1 melibatkan seramai 238 orang penerima dengan jumlah pembiayaan RM4.01 juta di seluruh Malaysia.

“Bagi negeri Johor untuk fasa 1 tahun ini, seramai 31 orang agropreneur muda telah diluluskan geran berjumlah RM586,000,” kata beliau.

Jelajah Agropreneur Muda di Johor Bahru

Agropreneur muda yang terlibat dalam bidang pemprosesan makanan di Johor teruja menerima kunjungan Jelajah Agropreneur Muda yang diketuai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi semalam.

Pasangan adik-beradik, Sahiran Jamil, 30, dan abangnya, Sharil Azmi Jamil, 36, yang mengusahakan perniagaan keropok lekor dan otak- otak di Kampung Sungai Danga di sini gembira kerana dipilih sebagai lokasi Jelajah Agropreneur Muda kali ini.

Sharil Azmi berkata, Jelajah Agropreneur Muda sangat baik bagi membantu usahawan muda terlibat dalam bidang pemprosesan makanan dan berharap jelajah seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.Anak sulung daripada enam beradik itu bangga dengan perniagaan yang diusahakan atas nama Lekor Danga Enterprise yang kini mampu mencapai pendapatan kasar tahunan mencecah RM1 juta.

Menurutnya, ia adalah hasil kerja keras, bimbingan dan bantuan daripada agensi serta jabatan kerajaan terutama Jabatan Perikanan Johor.

“Perniagaan kami bermula pada tahun 2007 dan pasaran jualan sekitar Johor.

“Adik-beradik yang kesemuanya lelaki terlibat mengusahakan perniagaan ini dan sehingga kini kami mempunyai seramai 30 orang pekerja yang terdiri daripada penduduk tempa-tan,” katanya.

Sahiran (kanan) dan Sharil Azmi menunjukkan produk keropok lekor dan otak-otak yang diusahakan di Kampung Sungai Danga, Johor Bharu.
Sahiran (kanan) dan Sharil Azmi menunjukkan produk keropok lekor dan otak-otak yang diusahakan di Kampung Sungai Danga, Johor Bharu.

Sementara itu, pengusaha karipap sejuk beku, Nur Hafizah Amat@ Halimi, 31, berkata, Jelajah Agropreneur Muda dapat membantu mempromosi perniagaannya, selain merapatkan hubungan usahawan dengan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Menurutnya, beliau memulakan perusahaan makanan sejuk beku sejak tahun 2016 selepas tamat belajar di Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) Telok Cengai di Kedah.

“Saya bermula dengan bengkel di sebelah rumah di Kampung Melayu Majidee sebelum berpindah ke Taman Daya, Johor Bahru. Saya mendapat bimbingan Jabatan Pertanian dan bantuan peralatan.

“Kini karipap sejuk beku keluaran syarikat saya dipasarkan di beberapa buah pasar raya sekitar Johor Bahru dengan keluaran setiap hari sebanyak 3,000 pek dan saya turut dibantu tiga pekerja,” katanya.

Pemilik syarikat Ngen-ces yang mengeluarkan produk kopi nanas, Mohd Redzuan Shah Ahmad, 37, pula berkata, pihaknya amat menghargai Jelajah Agropreneur Muda ke tapak Food Truck Tebrau yang menjadi lokasi beliau berniaga.

Menurutnya, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) banyak memberi bimbingan dan bantuan di bawah agropreneur muda sehingga perniagaan diusahakan berjaya.