4.5 juta akaun SSPN dibuka

Wan Saiful (berdiri, lima dari kiri) bersama anak-anak asnaf yang menerima sumbangan simpanan akaun SSPN-i pada Program Jelajah SSPN 2020 Peringkat Negeri Perlis di Kangar semalam.
Wan Saiful (berdiri, lima dari kiri) bersama anak-anak asnaf yang menerima sumbangan simpanan akaun SSPN-i pada Program Jelajah SSPN 2020 Peringkat Negeri Perlis di Kangar semalam.
A
A
A

PERLIS - Sebanyak 4.5 juta akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah dibuka dengan simpanan berjumlah RM6.4 bilion.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah itu direkodkan sejak skim itu mula diwujudkan pada tahun 2004 sehingga Mei tahun ini.

Menurutnya, di Perlis sahaja sebanyak 38,644 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM27 juta.

“PTPTN sentiasa proaktif dalam mengubah budaya dan amalan masyarakat Malaysia kepada budaya membuat penabungan untuk pendidikan.

“Anggapan bahawa menyimpan atau menabung hanya untuk golongan berpendapatan tinggi atau apabila ada duit adalah silap dan perlu dikikis daripada minda masyarakat.

“Walau sekecil mana pun pendapatan, kita perlu pastikan ada sedikit daripada pendapatan yang diasingkan untuk simpanan, tidak kira sama ada untuk kecemasan, persaraan, pendidikan mahupun untuk melancong,” katanya pada majlis perasmian Program Jelajah SSPN 2020 Peringkat Negeri Perlis di Kangar semalam.

Pada majlis itu, seramai 1,275 anak-anak asnaf dari Perlis menerima sumbangan simpanan akaun SSPN-i berjumlah RM127,500 melalui peruntukan dana zakat PTPTN.

Setiap pelajar menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN menerusi kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya; Timbalan Pengarah Pendidikan (Perancangan) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Mohammad Abd Ghani; Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad dan Pengurus Besar Negeri Pejabat PTPTN Negeri Perlis, Siti Jahara Mohd Idris.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, PTPTN kini mengadakan promosi ‘Jom Simpan’ bermula 1 Julai hingga 31 Oktober 2020 dengan menawarkan hadiah utama bernilai RM100,000.

Katanya, promosi Jom ‘Buka Akaun’ juga sedang berlangsung bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 yang menawarkan 150 unit Huawei Mediapad.