X

Kindly register in order to view this article
!

Dimensi politik kepengarangan

A
A
KINI kita menyaksikan banyak peristiwa luar biasa dalam dunia politik negara, ada yang tidak terduga oleh sejarah. Malah, ada antara kita sendiri yang melorek sejarah itu, atau menjadi sebahagian daripada sejarah tersebut. Berlakunya serangan demi serangan, pertempuran demi pertempuran, dan terjadinya perubahan besar dalam dunia politik.

Sebuah kekuasaan yang tiang pasaknya daripada besi bangsa dan budaya negara telah runtuh. Naik pula sebuah kekuasaan yang belum dapat diduga permainannya. Kemudian berpindah pula pada paksi kuasa yang lain. Ada tanda-tanda lingkaran politik akan bergerak dan berubah lagi. Ada yang mengisytiharkannya sebagai political wars atau perang politik.

Sebagai pengarang, sedikit sebanyak segala peristiwa itu terimbas dan tempias juga ke dalam diri. Segalanya terdedah dan menggerakkan ilusi dan naluri kepengarangan. Ada yang tersentuh dari sudut dimensi politik yang bersifat self-reflexive iaitu pemercikan kesedaran diri terhadap gejolak politik itu. Sebagai contoh, betapa sedihnya jiwa pengarang apabila ada gerakan tersembunyi mahukan bahasa Melayu 'menjadi mayat', dan sistem pendidikan negara diharu-birukan.

Dalam takdir sejarah sastera, setiap perubahan politik, akan memberi ilham kepada pengarang untuk menghasilkan karya yang berbeza dengan sebelumnya. Kesan daripada peristiwa politik itu secara neurosisnya akan mengaktifkan libido kepengarangannya.

Sebagai contoh, implikasi Perang Dunia Kedua, pengarang meninggalkan realisme dan berhijrah ke surealisme. Dipelopori oleh Samuel Beckett, Waiting For Godot, yang mencitrakan manusia menanti Godot dengan rasa penuh kerinduan, ia memberikan harapan dan bakal mengeluarkan mereka daripada masalah. Drama itu menjadi ungkapan universal, dan diterima sebagai teks surealisme pertama dunia, pembuka pintu kepada zaman baharu, pascamodenisme.

Pascamoden di Malaysia juga dipelopori oleh aliran surealisme. Katalisnya ialah peristiwa berdarah 1969, yang membawa perubahan drastik terhadap sastera Melayu. Pengarangnya ialah Noordin Hassan dengan Bukan Lalang Ditiup Angin mencitrakan masyarakat Melayu yang diaibkan oleh cara berfikir primitif dan korupsi politik.

PerjuanganSecara analogi, drama itu menggambarkan bahawa kemerdekaan adalah hasil perjuangan orang Melayu, tetapi setelah lebih satu dekad merdeka, mereka masih tiada beridentiti.

Sesuai dengan reaksi 13 Mei yang menyaksikan himpitan libido Melayu, drama itu menggesa supaya orang Melayu harus bangun membina tamadun baharu.

Menyerah kepada nasib dan kurang usaha adalah penyakit yang mesti dibanteras. Secara halus dan tajam, Noordin Hassan menyindir kegagalan kepimpinan dan perebutan kuasa yang menjadi punca segala keruntuhan.

Daripada dua buah teks yang mengubah senario sastera itu, menunjukkan bahawa setiap kali terjadinya anjakan paradigma politik, akan muncul pengarang dan teks baharu yang menggegarkan sastera.

Pengarang biasanya tidak tertarik kepada politik kepartian, tetapi lebih kepada pemikiran, ideologi dan falsafah politik itu sendiri, terutamanya yang dianut oleh tokoh pemimpin atau sistem politik negara. Pengarang mengkritik individu dan sistem serta praktis yang dilakukan. Tingkah laku ahli politik dan kesan sistem yang diaplikasikan sering menjadi tumpuan.

Dalam konteks begini ia menuntut keberanian dan kebijaksanaan. Shahnon Ahmad ternyata sangat berani dan bijaksana menggunakan akal sasteranya, bertahan dengan gaya realisme, berubah ke surealisme, semiotik dan realisme magis.

Antara teks politiknya yang berpengaruh, berkesan dan pragmatik ialah Tunggul-Tunggul Gerigis, Perdana, Sutan Baginda, Patriarch dan Shit. Pemimpin bercakaran macam anjing dengan kucing dalam Tunggul-Tunggul Gerigis, berebut-rebut kuasa dan mahu menjadi perdana menteri dalam Perdana, tokoh yang mendapat kekuasaan tamak dan haloba dalam Sutan Baginda, zalim terhadap rakyat lalu dia dibunuh dalam Patriarch dan konspirasi politik dalam Shit. Sensitiviti Shahnon dalam garapannya terhadap dunia politik tanah air patut menjadi contoh pengarang dewasa ini.

Dia berani tetapi bijaksana. Aliran dan teknik pengkaryaannya dapat melindungi keselamatan dirinya.

Zaman pascamoden ini tersedia sarat dengan kaedah berkarya seperti teks pastiche, lotta, kits, metafiksyen dan metahistoriografik. Kaedah berkarya juga boleh ditelusuri mengikut teori sastera pascamodenisme, seperti kaedah naratif intertekstualiti, semiotik, feministik, pascakolonial, ekologikal, travel, autobiografi dan lain-lain lagi.Political wars yang berlaku di negara kita sekarang, dapat diadaptasi dan diparodi dengan melakukan penjenamaan baru genre sastera.

Belajar daripada Gabriel Garcia Marquez yang menulis One Hundred Years of Solitude dengan menggabungkan realisme dengan surealisme yang melahirkan genre realisme magis, yang menjadi ikutan seluruh dunia.

Saya juga cuba mencipta genre baru, dengan menulis karya yang tidak mementingkan kronologikal peristiwa, menumpukan gagasan kekuasaan, dimensi politik, berunsur pascakolonialistik. Pembinaan wataknya tidak menggunakan sistem tekstual historikal, sebalikya mengikut teknik pusat anjuran Derrida dalam teori dekonstruksi. Dimasukkan juga unsur-unsur kits, pastiche dan lotta, yang menjadikan naratifnya berbeza, ia dinamakan metasejarah. Sejak tahun 2000, sudah sepuluh buah drama metasejarah dipentaskan, dan menghasilkan beberapa buah cerpen.

Sesungguhnya, dalam situasi kegawatan politik terkini, pengarang tidak sepatutnya bungkam dan menyembunyikan diri. Apalagi tenggelam dalam keghairahan karya, yang bercorak alamiah, kedirian dan terpencil. Dianjurkan, sewaktu berhadapan anjakan politik dan political wars yang berlaku sekarang, para pengarang kita harus melakukan percubaan untuk menghasilkan genre dan teks baharu. Karya bersifat inovatif dan mendahului zaman. Teks itu mendemonstrasikan intelektual dan konstruktif terhadap segala gejala dan fenomena politik.

Biasanya hanya pengarang yang tajam mata jiwa dan penanya dapat menilai dan menginterpretasi segala rahsia peristiwa. Lazimnya, pengarang manusia yang bijak apabila berhadapan dengan peristiwa besar. Dan mampu menghasilkan karya besar dengan aplikasi gaya, teknik, aliran dan genre yang memikat. Gabriel Garcia Marquez dan Shahnon Ahmad sudah membuktikannya.

Khalayak sastera sangat mengharapkan pengarang dapat memberi sumbangan untuk sebuah negara yang damai. Kita menunggu pengarang yang bakal menghasilkan karya besar itu, yang menjadi ikonik terhadap peristiwa politik sezaman.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!