Sebaiknya jadikan YAKEB sebagai tempat rujukan

A
A
A

DALAM industri bola sepak, setiap perjalanan itu dilihat seakan memiliki perancangan tersendiri berkat hasil usaha, komitmen dan keghairahan masing-masing.

Sedar atau tidak, sebenarnya persaingan merebut peluang telah berlaku bermula di peringkat akar umbi sehingga pihak paling tertinggi sama ada di peringkat jurulatih atau pengurusan.

Sebagai contoh, jika ada seramai 700 kanak-kanak bermain di peringkat akademi bola sepak adakah bermakna mereka kesemuanya akan berjaya menempatkan diri untuk diserapkan ke peringkat lebih atas iaitu skuad belia?

Jawapannya sudah tentu tidak semua akan mendapat peluang itu tetapi dalam masa yang sama ia tidak bermakna episod mereka yang gagal menempatkan diri dalam skuad sudah berakhir.

Industri bola sepak sebenarnya cukup luas dan inilah yang perlu dididik kepada generasi muda di mana pekerjaan seperti jurulatih, jurulatih kecergasan, pengadil dan sebagainya masih lagi terbuka.

Penulis bersetuju dengan kenyataan pengendali Selangor, B Sathianathan yang mengakui bahawa tidak mudah bagi jurulatih tempatan untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan hanya ada 24 pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Dalam konteks dunia kejurulatihan, Sathianathan menyifatkan reputasi dan kewibawaan itu sangat penting di mana proses itu bukannya berlaku sekelip mata atau bersandarkan kepada pengalaman sebagai bekas pemain sebaliknya ia adalah hasil kerja keras bermula daripada peringkat bawah.

Berdasarkan pengalaman peribadi penulis yang berlaku pada dua tahun lepas, seorang bekas editor, Datuk Ahmad Talib (Allahyarham Datuk Ahmad yang baharu meninggal dunia bulan lepas) diberitahu seseorang untuk membantu kawannya yang amat susah dan individu itu melakukan kerja potong rumput.

Artikel Berkaitan:

Betapa terkejutnya Ahmad Talib apabila orang yang tampil itu adalah bekas legenda pemain Selangor, Azhar Shariff.

Siapa tak kenal Azhar yang merupakan salah seorang penjaring gol dalam aksi final Piala Malaysia 1986 ketika Selangor menang 6-1 ke atas Johor di Stadium Merdeka dan Azhar juga menjaringkan dua gol ketika membantu Selangor menewaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1984.

Tidak berniat untuk mempertikaikan mana-mana individu tetapi penulis sebenarnya mahu memberikan pujian komitmen beliau yang tidak mencari alasan dan sentiasa berusaha keras untuk mencari sumber rezeki halal.

Sekarang Azhar, 56, mengendalikan ternakan sahabat dia.

Justeru secara peribadi, penulis menganggap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak salah untuk menunjukkan simpati dan tampil membantu tetapi harus diingat bahawa masih ramai lagi yang mengalami kesusahan.

Sebenarnya KBS sendiri memiliki platform terbaik iaitu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan sebaiknya tidak perlu ada satu pertemuan khas seperti yang berlaku.

Sebaiknya pertemuan khas boleh dielakkan pada masa akan dapat supaya semua atlet mendapat layanan yang sama melainkan pertemuan itu berlaku dalam satu majlis khas yang tidak dapat dielakkan.

Penulis ingin menegaskan bahawa tiada niat kepada mana-mana pihak yang ingin membantu atau memanggil sesiapa sahaja untuk diberikan bantuan dalam apa bentuk cara.

Cuma penulis melihat kewujudan YAKEB adalah tempat terbaik dan YAKEB nampak menjalankan usaha dengan begitu baik buat masa ini.

Ini kerana banyak lagi cerita bekas atlet susah yang tidak tampil ke depan atau tidak diketahui.

Selain daripada YAKEB, sudah tiba masanya setiap persatuan negeri sukan masing-masing terutamanya bola sepak juga memiliki satu naungan untuk bekas-bekas pemain dalam membantu mereka.

Benar YAKEB telah meliputi keseluruhan dan banyak memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan tetapi tidak salah buat negeri masing-masing untuk memainkan peranan dalam bentuk kemanusiaan ini.

Nasihat penulis kepada bekas pemain janganlah sesekali bersifat angkuh dan ingatlah bahawa nama hanya gah ketika berada di atas.

Jasa tetap dikenang tetapi layanan orang terhadap kita bukannya sama ketika berada di bawah.

Itulah lumrah kehidupan dan itulah juga sebab mengapa sikap merendah diri itu sangat penting.

Sebenarnya penulis juga sendiri pernah melalui jatuh bangun dalam kehidupan dan seharusnya setiap kesilapan itu perlu dijadikan iktibar untuk perbaiki diri sendiri menjadi lebih bagus.

Akhir kata, janganlah kita menjadi alim bagai katak tepi air kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Penulis ingin mengambil kesempatan untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada legenda bola sepak negara, arwah Datuk Mokhtar Dahari selepas genap 28 tahun pemergian beliau pada tangga 11 Julai 1991.

Legenda negara yang akan dikenang selamanya. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.

* Mohd Fariq adalah penulis sukan bola sepak lebih 20 tahun