KRM sambut baik kerajaan benarkan penganjuran pertandingan

Saingan Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 antara kejohanan tempatan anjuran KRM.
Saingan Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 antara kejohanan tempatan anjuran KRM.
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sebelum memutuskan sebarang penganjuran semula kejohanan ragbi tempatan pada tahun ini.

Menurut Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, KRM akan mengambil kira pelbagai aspek selepas semua kejohanan anjuran badan induk ragbi negara itu terjejas sejak beberapa bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

"Exco KRM akan bermesyuarat minggu depan bagi perhalusi SOP terkini diberikan pihak kerajaan untuk kita buat keputusan bagaimana kita akan bergerak ke hadapan.

"Setakat ini kami belum boleh putuskan apa-apa mengenai status kejohanan tempatan kerana banyak faktor yang perlu diambil kira antaranya pendirian World Rugby dan Asia Rugby.

"Asia Rugby contohnya telah buat keputusan tiada kejohanan sehingga September yang mana kejohanan seterusnya hanya akan diputuskan pada September.

"Penganjuran kejohanan tempatan pula perlu mengambil kira kedudukan penaja-penaja untuk penganjuran serta persiapan pasukan-pasukan dan lain-lain faktor yang terkesan kerana pandemik Covid-19, jadi kita perlu bincang semula," katanya kepada Sinar Harian.

Kerajaan bersetuju membenarkan penganjuran pertandingan sukan tiada sentuhan fizikal tanpa penonton seperti permotoran dan sukan individu dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bermula 15 Julai ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia termasuk perlumbaan permotoran seperti lumba motosikal dan kereta di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan litar-litar lain, kejohanan badminton perseorangan, tenis perseorangan, gimnastik perseorangan, terjun papan anjal dan kejohanan catur.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama jelasnya, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, bola keranjang, sepak takraw serta sukan tempur seperti karate, silat dan taekwondo juga dibenarkan.

Tambahnya, kerajaan membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi bagi Fasa 3 dan Fasa 4 itu serta penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Mesyuarat (Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP) juga telah bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan yang tidak melibatkan penonton dan di dalam negara sahaja.

"Sukan bersentuhan fizikal seperti bola sepak, ragbi, hoki sepak takraw bola keranjang dan skuasy dibenarkan 15 Ogos. Contoh pertandingan seperti Liga Super, Liga Premier, Sepak Takraw League (STL), liga hoki kita benarkan 15 Ogos depan," katanya.