Teliti semula had gaji minimum

Mohd Yusof Abdul Rahman
Mohd Yusof Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan kepada kerajaan agar meneliti semula penetapan had gaji minimum pekerja berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional baharu yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu pada kadar RM2,208.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, cadangan itu perlu supaya dapat mengurangkan jurang kemiskinan di negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan bancian tersebut pihaknya mendapati PGK itu melibatkan kemiskinan di bandar.

"Had gaji minimum sebanyak RM2,208 untuk hidup di bandar adalah sangat tidak mencukupi dan boleh dikategorikan sebagai 'sesak'.

"Ia berbeza dengan situasi di luar bandar. Jika di kampung had gaji minimum RM2,208 boleh dikategorikan sebagai selesa, sedangkan di bandar situasinya berbeza memandangkan segala-galanya yang perlu dibayar," katanya kepada Sinar Ahad.

Mohd Yusof berkata, PGK nasional baharu perlu dilihat dalam kategori seperti individu bujang, berkeluarga dan jumlah tanggungan.

Menurutnya, dengan adanya PGK, ia sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan untuk mengenal pasti dan mengutamakan golongan yang perlu dibantu.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, pihak majikan juga perlu mengambil pelbagai inisiatif dalam membantu pekerja dengan menilai balik tahap gaji minimum.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi saya pasti di pihak majikan juga akan memberikan alasan dan melihat beberapa kriteria seperti tempoh bekerja.

"Majikan juga perlu melihat keperluan pekerja supaya mereka tidak tertekan. Jika pekerja menerima gaji yang rendah, pekerja terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menampung kehidupan sehingga kerja-kerja hakiki terabai," katanya.