Bisnes IPTS terkena tempias Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) merayu kerajaan menyediakan bantuan sekurang-kurangnya RM10 bilion untuk membantu kelangsungan operasi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terjejas teruk akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md Isa berkata, jumlah besar itu diperlukan kerana wabak tersebut memberi kesan jangka panjang termasuk mengakibatkan kejatuhan teruk jumlah pengambilan pelajar antarabangsa berikutan halangan perjalanan dan syarat-syarat ketat kemasukan ke negara ini.

“Kita mempunyai 437 buah IPTS dan saya tidak pasti adakah kesemua IPTS ini memerlukannya. Andaikan kesemua memerlukannya, dana sekurang-kurangnya RM10 bilion diperlukan dengan menjangkakan bahawa kesan kepada perniagaan akan berlanjutan untuk satu tempoh lebih lama.

“Kesan ekonomi ini akan berpanjangan. Anggaran RM10 bilion itu adalah bagi keseluruhan industri IPTS. Jika hanya untuk bumiputera, saya fikir ia tidak sebesar itu. Ini bagi menghadapi kesan langsung daripada Covid-19,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Ahad baru-baru ini.

Amir Hamzah berkata, IPTS di Malaysia merupakan sebuah bisnes besar kerana nilainya dianggarkan RM31.5 bilion setahun, melibatkan 437 IPTS dan 666,000 pelajar.

“Nilai RM31.5 bilion itu merupakan nilai ekonomi yang disumbangkan oleh IPTS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sekitar 2.5 peratus dan sumbangan itu dalam bentuk yuran pelajar.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11 bilion disumbangkan oleh pelajar antarabangsa. Ramai juga tidak sedar bahawa 50.3 peratus pelajar yang berada di pengajian tinggi di Malaysia belajar di IPTS. Daripada 1.3 juta pelajar secara keseluruhan, 666,000 pelajar berada di IPTS. Mereka berusia antara 18 hingga 24 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan boleh membantu usahawan IPTS dengan menyalurkan bantuan melalui dua cara utama iaitu menyediakan satu kemudahan pembiayaan khusus kepada industri IPTS dan fasiliti kepada pelajar yang mahu menyambung pengajian.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya, kerajaan telah pun menyediakannya untuk semua industri dalam pakej Penjana (Bantuan Prihatin Nasional dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara). Oleh sebab semua industri terjejas, mungkin semuanya memohon. Jadi, biarlah ada satu bantuan khusus kepada IPTS.

“Untuk IPTS bumiputera, satu skim khusus atau tabung dana pemulihan usahawan pendidikan boleh diperkenalkan. Ini kerana pengusaha IPTS ini merupakan seorang usahawan.

“Biasanya golongan usahawan di negara ini mempunyai banyak tabung kewangan dan saya cadangkan supaya diwujudkan tabung usahawan pendidikan,” katanya.

Amir Hamzah memberitahu, PKIBM juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan antaranya mengembalikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada kadar asal dan pada 2016 ia dikurangkan sebanyak 15 peratus daripada RM4,000 atau RM8,000 setahun.

“Alhamdulillah cadangan itu telah diterima dan di peringkat pelaksanaan. Kalau dapat dipercepatkan lebih bagus.

“Khusus untuk bumiputera pula saya cadangkan diwujudkan satu dana khusus daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi pelajar-pelajar bumiputera yang ingin sambung pengajian di IPTS bumiputera dengan diberikan pinjaman,” katanya.

Katanya, dana tambahan baharu juga boleh disediakan dan dilaksanakan menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai ‘payung’ kepada usahawan dan pendidikan bumiputera.