X

Kindly register in order to view this article
!

Program 'Maghi Candat Sotong' kembali lagi

Program mencandat sotong kini kembali selepas ditangguhkan ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).
A
A

MARANG - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menganjurkan 'Program Maghi Candat Sotong', iaitu program pertama pelancongan negeri selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ia selaras dengan saranan kerajaan untuk menyemarakkan kembali sektor pelancongan negeri.

Menurutnya, program itu dijadualkan berlangsung pada April lalu namun terpaksa ditangguhkan susulan wabak koronavirus (Covid-19).

"Program candat sotong sebelum ini mendapat pengiktirafan daripada Majlis Pelancongan Malaysia sebagai Program Pelancongan Terbaik pada tahun 2019.

"Kita melihat aktiviti ini perlu diteruskan kerana ia memberi rangsangan terhadap penggiat-penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot nelayan, pengusaha hotel dan resort, peniaga dan ramai lagi yang menerima manfaat ekonomi daripada aktiviti pelancongan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelepasan peserta Program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di Jeti Pelancongan Marang, hari ini.

Ariffin melepaskan peserta program di Jeti Pelancongan Marang, di sini hari ini.
Ariffin melepaskan peserta program di Jeti Pelancongan Marang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Sebanyak 16 bot dengan 160 peserta menyertai program itu, termasuk penggiat pelancongan dan pengamal media.

"Program ini juga menyaksikan pengamalan kepada norma baharu penganjuran acara dengan pelaksanaan serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai garis panduan SOP Acara Pelancongan Negeri Terengganu sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (MKN)," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan Terengganu optimis dapat mencapai sasaran 4.5 juta pelancong berdasarkan trend peningkatan pengunjung sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri.

"Sebenarnya, sasaran awal jumlah pelancong ke Terengganu seramai 5.4 juta orang tetapi disebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19), sasaran itu diturunkan kepada 3.8 juta kerana pelbagai faktor.

"Bagaimanapun selepas melihat trend kemasukan semasa pelancong yang mendadak sejak sebulan lalu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita optimis mampu capai 4.5 juta orang pelancong sehingga akhir tahun ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus