Projek sekolah Tamil terbengkalai

A
A
A

KEWUJUDAN sekolah vernakular Tamil dan pendidikan Bahasa Tamil diibaratkan sebagai lambang hak keistimewaan dan aset berharga amat penting buat masyarakat India di Malaysia.

Pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu, sekolah vernakular Tamil telah menjadi medium memperkukuhkan solidariti kaum minoriti dan memperkasakan sosio ekonomi masyarakat India.

Di sebalik peredaran zaman pada alaf baharu ini, sekolah vernakular Tamil mendukung peranan sebagai institusi pendidikan melahirkan generasi berintelek, bertamadun tinggi dan berdaya saing seiring dengan agenda pembangunan pendidikan nasional.

Aspirasi kerajaan itu semakin berubah ke arah realiti, apabila pembangunan dan pencapaian akademik keseluruhan 524 sekolah Tamil cukup membanggakan serta mengharumkan imej masyarakat India.

Kegemilangan survival sekolah Tamil dan pendidikan Tamil yang mendukung sejarah menjangkau usia lebih 200 tahun di negara ini, dimartabatkan lagi melalui keprihatinan kerajaan Malaysia dengan melancarkan pelan pembangunan khas dan tawaran peruntukan jutaan ringgit.

Spesifiknya, sekitar tahun 2012 dan 2013 kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah tampuk kepimpinan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan pelan pembangunan khas sekolah Tamil dan memperuntukkan sebanyak lebih RM80 juta.

Sejumlah 37 sekolah Tamil di seluruh negara telah dikenal pasti di bawah pelan pembangunan berkenaan dan buat julung kali golongan kontraktor India diberi peluang untuk melaksanakan projek pembinaan menaiktaraf tersebut.

Pelaksanaan pelan pembangunan yang lancar itu dengan bantuan kontraktor- kontraktor India telah berjaya menyiapkan projek pembinaan sebanyak 21 buah sekolah Tamil daripada jumlah 37 buah sekolah.

Artikel Berkaitan:

Terjejas

Laporan akhbar harian, Malaysia Nanban baru-baru ini, membongkar bahawa projek pembangunan baki 16 buah sekolah Tamil bermula pada tahun 2013 dengan kos peruntukan lebih RM80 juta itu sudah lama terbengkalai.

Akhbar Malaysia Nanban menjelaskan 16 buah sekolah Tamil yang turut tersenarai dalam 37 buah sekolah itu telah terbiar tanpa sebarang kerja-kerja pembinaan sejak tujuh yang lalu.

Senarai 16 buah sekolah Tamil yang terjejas tersebut adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Terla, Pahang, SJKT Ladang Kalumpang, Selangor, SJKT Ladang Bukit Jalil, Selangor, SJKT Ladang Saga, Negeri Sembilan, SJKT Sungai Rela, Perak, SJKT Effingham, Selangor dan SJKT Ladang Region, Negeri Sembilan serta SJKT Ladang Preston, Selangor.

Diikuti pula SJKT Blue Valley, Pahang, SJKT Tun Dr Ismail, Johor, SJKT Tambusamy, Kuala Lumpur, SJKT Seafield, Selangor, SJKT Bertang, Negeri Sembilan, SJKT Saint Healer Negeri Sembilan dan SJKT Ladang Jeram, Pahang serta SJKT Serendah, Selangor.

Menurut laporan Malaysia Nanban, kesemua 16 sekolah Tamil bernasib malang itu mencatatkan kadar peratusan pembinaan yang maksimum iaitu 85 hingga 99 peratus sementara paling minimum adalah sebanyak 10 peratus sahaja sehingga hari ini.

Reaksi berikutan laporan tersebut, ada parti politik India mendakwa kegagalan projek pembinaan sekolah-sekolah Tamil berkenaan berpunca daripada sikap sambil lewa Kementerian Pendidikan (KPM).

Parti itu turut menuntut kepada KPM untuk memulakan siasatan tentang isu pembangunan sekolah Tamil terbengkalai itu.

KPM juga diminta mencari solusi muktamad pada kadar segera kerana ia melibatkan pembangunan dan masa depan murid-murid sekolah Tamil.

Sementara itu, Persatuan Kontraktor India tampil meluahkan kekesalan menyatakan pihak KPM masih belum melunaskan bayaran lebih RM5 juta kepada golongan kontraktor yang terlibat dalam projek tersebut.

Malaysia Nanban turut terima aduan bahawa pihak sekolah berlaku tidak adil kepada kontraktor India dan sedia memberi peluang projek pembinaan kepada kontraktor lain dengan alasan kos serta bahan-bahan pembinaan jauh lebih murah.

Sikap pihak sekolah itu mencetuskan kemarahan golongan kontraktor India dan berasa teraniaya mengenang nasib mereka.

Pembangunan sekolah Tamil diiringi dengan pembinaan infrastruktur bertaraf moden dan terbaik menjadi keperluan afdal untuk murid-murid India bagi memperoleh persekitaran pembelajaran yang lebih selesa serta selamat.

Agenda pembangunan pendidikan kaum minoriti melalui sekolah vernakular di negara ini adalah manifesto istimewa pihak kerajaan dalam memelihara hak pendidikan dan merealisasikan impian rakyat berbilang kaum untuk menikmati kehidupan yang adil serta saksama.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor