Jurulatih baharu Malaysian Tigress diketahui Isnin ini

Siapa bakal mengemudi skuad Malaysian Tigress hanya akan terjawab selewat-lewatnya Isnin ini.
Siapa bakal mengemudi skuad Malaysian Tigress hanya akan terjawab selewat-lewatnya Isnin ini.
A
A
A

PERSOALAN siapakah yang bakal mengemudi skuad Malaysian Tigress hanya akan terjawab selewat-lewatnya Isnin ini selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengenal pasti calon terbaik bagi mengisi jawatan yang telah ditinggalkan kosong sejak Disember lepas.

Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Profesor Dr S Shamala ketika dihubungi berkata, KHM telah menyenarai pendek beberapa calon daripada 10 jurulatih tempatan dan 11 jurulatih luar negara pada Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan KHM hari ini.

Shamala berkata, pihaknya selesai menemuduga kesemua calon luar negara Khamis dan Jumaat lepas namun memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan terbaik buat skuad negara.

"Jawatankuasa kejurulatihan sudah mencadangkan beberapa calon namun pemilihan hanya boleh dilakukan oleh ahli lembaga KHM. Kami akan bawa nama mereka kepada ahli lembaga untuk kelulusan pada hari ini juga.

"Mungkin akan diumumkan pada Isnin ini selepas mendapat kelulusan ahli lembaga KHM. Memang agak sukar untuk pilih calon jurulatih kerana ada antara mereka yang sangat mengagumkan," katanya.

Proses pemilihan ketua jurulatih baharu Malaysian Tigress itu, yang sepatutnya selesai April lepas tergendala ekoran pandemik koronavirus (Covid-19) sejak Mac lalu.

Jawatan pengendali pasukan yang menduduki ranking dunia ke-20 itu kosong apabila Muhammad Dharma Raj Abdullah tidak memohon untuk jawatan berkenaan selepas kontraknya tamat pada 31 Disember tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: