X

Kindly register in order to view this article
!

Kuasa Persekutuan mengenai Islam

A
A

PERLEMBAGAAN Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi ia adalah satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun ia tidaklah bermakna agama-agama lain ditindas kerana Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada penganut agama lain menganut dan mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni. Walau bagaimanapun penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam boleh dikawal oleh undang-undang negeri selain bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Malah dalam Undang-Undang Tubuh semua negeri selain dari Negeri Sarawak juga memperuntukkan Islam adalah agama bagi negeri dan Sultan atau Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama bagi negeri masing-masing termasuk Sarawak.

Kebanyakan kita sedar bahawa hal ehwal mengenai agama Islam adalah terletak di dalam bidang kuasa negeri. Dalam erti kata lain hanya Kerajaan Negeri yang boleh membuat apa-apa undang-undang mengenai hal ehwal Islam seperti undang-undang Islam, Mahkamah Syariah, zakat dan semua lain yang berkaitan agama lslam.

Hal yang demikian kerana Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Kesembilan Senarai II menyatakan di dalam Butiran 1 bahawa hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri. Inilah yang menyebabkan kebanyakan kita mengatakan semua isu mengenai agama Islam adalah di bawah bidangkuasa negeri.

Pandangan sebegini sebenarnya kurang tepat. Jika kita melihat kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhannya kita akan dapati terdapat kuasa mengenai Islam yang diberikan juga kepada Kerajaan Persekutuan. Sebagai contohnya di dalam Jadual kesembilan Senarai I Butiran 4(k) Perlembagaan Persekutuan meletakkan penentuan hukum Syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang Persekutuan di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Butiran 4(k) ini bermaksud jika terdapat suatu isu berkaitan penentuan hukum Syarak dan undang-undang diri yang lain di dalam mana-mana undang-undang Persekutan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa bagi menentukannya.

Sebagai contoh suatu undang-undang Persekutuan telah dibuat mengenai perubatan tradisional dan komplementari melalui Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016. Akta ini memberi ruang dan pengiktirafan kepada antara lain perubatan Islam. Akta ini diluluskan oleh Parlimen kerana ia berkaitan dengan isu perubatan.

Peruntukan

Oleh itu dalam menentukan sesuatu perubatan Islam itu benar-benar mengikut hukum syarak, kuasa tersebut adalah milik Kerajaan Persekutuan bukan Kerajaan Negeri berdasarkan butiran 4(k) di atas walaupun ianya berkaitan hal ehwal Islam.

Begitu juga halnya mengenai perbankan Islam di mana Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 telah digubal bagi mengadakan peruntukan bagi pengawalseliaan dan penyeliaan institusi kewangan Islam, sistem pembayaran dan entiti berkaitan yang lain dan pengawasan pasaran wang Islam dan pasaran pertukaran asing Islam untuk menggalakkan kestabilan kewangan dan pematuhan Syariah dan bagi perkara yang berhubungan, berbangkit atau bersampingan dengannya.

Oleh kerana akta tersebut adalah sebuah akta Persekutuan mengenai perkhidmatan kewangan Islam ia hendaklah ditadbir oleh badan Persekutuan bukan badan negeri. Itulah sebabnya isu perbankan Islam dan perkhidmatan kewangan Islam terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Butiran 4(k) di atas.

Berdasarkan perkara di atas adalah jelas kini bahawa tidak semua hal ehwal Islam berada di bawah kekuasaan kerajaan negeri melalui skima dan kerangka taburan kuasa yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan itu. Masih ada sebahagian isu yang terjatuh di dalam kuasa Persekutuan walaupun ianya berkaitan agama Islam.

Taburan kuasa ini sangatlah hibrid kerana ia menggambarkan Islam di Malaysia bukan sahaja dilihat dan diamalkan dari sudut ritual dan undang-undang diri semata-mata malah ianya merangkumi gaya hidup yang diiktiraf bagi umat Islam di Malaysia. Jelaslah Islam di Malaysia bukan sekadar dogma-dogma atau rutin ritual harian semata-mata tetapi ia adalah gaya hidup bernegara.

Hal ini selaras dengan penghakiman yang dibuat di dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.

Begitulah luasnya Islam yang boleh dianuti dan diamalkan di Malaysia!

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!