Kefahaman untuk tangani ekonomi

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

BERITA mengenai beberapa perkembangan penting berkaitan ekonomi telah dilaporkan oleh berbagai-bagai saluran media sepanjang minggu ini.

Bagi kebanyakan orang, berita-berita ini sama ada terlalu rumit untuk difahami atau sangat jauh daripada kehidupan harian mereka.

Malangnya, apa yang dilaporkan itu semuanya akan memberi kesan langsung kepada kehidupan setiap orang daripada kita.

Pada awal minggu, iaitu 7 Julai, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz telah dilaporkan berkata bahawa ekonomi Malaysia bagi tahun ini mungkin kecut 3.8 peratus atau, paling baik pun, kembang sebanyak setengah peratus.

Dalam bahasa paling mudah, ekonomi kita diramalkan menjadi lebih kecil atau akan membesar dengan kadar yang sangat rendah.

Kadar ini amatlah membimbangkan dan mungkin menjadi yang terburuk pernah kita alami. Walaupun pertumbuhan ekonomi tahunan Malaysia pernah menguncup dua atau tiga kali sebelum ini, namun kadar yang diramalkan untuk tahun ini adalah yang terburuk.

Kadar yang disebutkan oleh Menteri Kewangan itu adalah daripada ramalan dan unjuran beberapa pihak dalam negara dan antarabangsa.

Bank Negara Malaysia, misalnya meramalkan bahawa dalam senario paling buruk, ekonomi akan menguncup dua peratus dan/atau berkembang setengah peratus.

Artikel Berkaitan:

Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) meramalkan penguncupan 3.8 peratus dan Bank Dunia pula menjangkakan penguncupan 3.1 peratus.

Bagaimanapun, jika dilihat daripada sudut yang lebih luas, angka-angka itu tidaklah memeranjatkan atau terlalu teruk kerana daripada 195 buah negara di dunia, 150 dijangka akan alami pertumbuhan negatif.

Dalam bahasa mudah, ekonomi Malaysia dan dunia akan menjadi bertambah kecil tahun ini sebelum pulih semula tahun depan bila mana ekonomi kita dijangka berkembang 6.3 peratus hingga 7.5 peratus.

Minggu ini juga dilaporkan yang Bank Negara telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tujuannya menjadikan kadar pinjaman lebih rendah dengan harapan akan membantu menggerakkan kegiatan ekonomi.

Dalam keadaan muram ini adalah amat memberangsangkan apabila Tabung Haji melaporkan yang ia telah berjaya mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion dan keuntungan bersih RM1.25 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pencapaian ini amat baik berbanding keuntungan sebanyak RM849.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Serentak itu ia mengumumkan bahawa aset telah melebihi tanggungan sebanyak RM1.86 bilion. Mengikut undang-undang tubuhnya, TH hanya dibenarkan membayar hibah kepada penyimpan kalau harta melebihi hutang.

Kejayaan TH ini adalah hasil operasi pembersihan dan penyelamatan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 22 bulan pemerintahannya.

Sekarang TH mempunyai aset bermutu tinggi yang mampu menjana pulangan lebih besar. Ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa kerajaan PH menjual aset TH kepada “Cina”.

Begitu juga dengan Khazanah Nasional Berhad yang mengumumkan keuntungan operasi paling tinggi dalam sejarah sebanyak RM7.36 bilion bagi tahun kewangan 2019 berbanding kerugian RM6.27 bilion pada tahun 2018.

Ini juga adalah hasil operasi pembersihan dan pengemaskinian yang dibuat oleh kerajaan PH. Jadi kita harap dasar dan program baik kerajaan PH itu diteruskan dan campur tangan politik dalam hal ehwal syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat dihadkan.

Di pihak yang lain pula, kita mendengar berita bahawa Air Asia Berhad secara teknikalnya tidak lagi mampu beroperasi sebagai sebuah perniagaan.

Ini adalah pandangan tidak bersyarat syarikat audit luar Ernst & Young setelah syarikat penerbangan murah itu mengalami kerugian RM283 juta bagi tahun kewangan 2019 dan hutang melebihi aset sebanyak RM1.84 bilion.

Hal ini telah dilaporkan oleh Air Asia kepada Bursa Malaysia yang kemudiannya menggantungkan sementara jual beli sahamnya Rabu lalu.

Masalah kewangan yang sedang dialami oleh ketiga-tiga syarikat penerbangan utama negara – Air Asia, Mas dan Malindo – boleh menjejas pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 kerana kita bergantung besar kepada sektor pelancongan.

Kesimpulannya, perkembangan yang disebutkan ini hanyalah pratayang kepada apa yang sedang dan akan berlaku dalam jangka masa pendek dan sederhana kepada ekonomi kita dan ekonomi dunia.

Itulah sebabnya kita kena ambil berat dan cuba faham semua perkembangan ini supaya keadaan tidak menjadi bertambah buruk.

Wallahuaklam.

*A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara