X

Kindly register in order to view this article
!

Sambut baik keputusan Tun M bentuk blok Bebas, buka ruang kerjasama

A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyambut baik keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berada di blok Bebas bersama lima lagi pengikutnya.

Menurutnya, keputusan Dr Mahathir untuk tidak berada bersama-sama gabungan Pakatan Harapan (PH) boleh membuka ruang kepada kumpulan itu untuk bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Yang penting (Mahathir) tidak sokong Pakatan Harapan (PH), jadi Bebas lebih baik. Jadi masih ada ruang untuk bekerjasama,” katanya sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita freemalaysiatoday.com hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional turut berharap semua pihak menghormati keputusan yang diambil lima ahli Parlimen itu menjadi wakil rakyat Bebas.

“Saya mengalu-alukannya dan mereka tidak sokong PH, itu sudah cukup baik. Keputusan itu hak mereka yang perlu dihormati.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M umum jadi blok Bebas bersama Warisan

“Sekurang-kurangnya kita ada ruang untuk bekerjasama. Saya percaya Tun tahu politik dan itu pendiriannya,” katanya.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Dr Mahathir bersikap terbuka dan akan bersama kerajaan jika ia melibatkan isu nasional demi kepentingan rakyat.

“Saya tidak rasa pendirian Tun berpatah arang berkerat rotan. Saya yakin dalam isu nasional dan kepentingan rakyat, Tun akan bersama dengan kerajaan. Itu sememangnya pendirian Tun.

“Pembangkang sifatnya lain. Saya bersyukur beberapa ahli Parlimen duduk sebagai wakil Bebas. Ini sudah beri peluang untuk kita bekerjasama. Kita boleh berbeza pendapat,” katanya.

Semalam Dr Mahathir bersama lima bekas ahli Parlimen PPBM mengambil langkah membentuk blok Bebas bersama-sama Warisan.

Dalam kenyataan bersama, mereka memaklumkan tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan parti politik yang lain, sama ada Perikatan Nasional (PN) atau PH.

Lima pemimpin terbabit terdiri daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus