Wanita Malaysia pertama menjadi Profesor Madya di Universiti Oxford

Dr Masliza Mahmod
Dr Masliza Mahmod
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dr Masliza Mahmod melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengucapkan tahniah kepada Dr Masliza atas kenaikan pangkat itu serta mengakui kebijaksanaan dan pencapaian hebat beliau sebagai pakar kardiologi.

"Beliau sememangnya seorang pakar kardiologi yang bijak dan meskipun berdepan pelbagai kesulitan serta cabaran, ketabahan dan minat mendalam beliau dalam penyelidikan klinikal menjadikan beliau seorang pakar kardiologi akademik yang ulung.

"Tiada apa yang boleh menghalang beliau untuk terus melangkah ke tahap lebih tinggi. Kita amat berbangga dengan pencapaian beliau...," menurutnya dalam hantaran di laman Facebook.

Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Dr Masliza memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik-teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baharu untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Doktor berusia 47 tahun dari Batu Pahat, Johor itu kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Ahli Royal College of Physicians (MRCP) dari London itu memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Malaysia dan ijazah perubatan awal (MBChB) dari Universiti Otago, New Zealand. - Bernama

Artikel Berkaitan: