Disinfeksi berterusan tingkat keyakinan orang ramai berbelanja

Annuar beramah mesra bersama peniaga ketika lawatan di sekitar Jalan Alor bersama Persatuan Peniaga dan Penjaja Jalan Alor ketika Majlis Pelancaran 'Jom BB' dan Kempen Pemulihan Industri Pelancongan Bukit Bintang di Jalan Alor hari ini. -Foto Bernama
Annuar beramah mesra bersama peniaga ketika lawatan di sekitar Jalan Alor bersama Persatuan Peniaga dan Penjaja Jalan Alor ketika Majlis Pelancaran 'Jom BB' dan Kempen Pemulihan Industri Pelancongan Bukit Bintang di Jalan Alor hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan disinfeksi yang kerap, serta langkah-langkah pencegahan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berterusan di premis perniagaan mampu memulihkan keyakinan orang ramai untuk berbelanja sekali gus membantu memulihkan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan mahu supaya tempat-tempat perniagaan dijaga untuk memulihkan keyakinan orang ramai kerana ia melibatkan soal penting yang berkaitan dengan keyakinan.

“Apabila orang takut, dia akan skeptikal, masih tidak mahu datang ke tempat awam atau tidak mahu makan di restoran walaupun kita dah buka restoran. Kita mahu orang ramai kembali kepada aktiviti harian, peniaga kembali semula berniaga, pelancong boleh datang semula dengan penuh yakin dan selamat daripada ancaman Covid-19,” katanya kepada media ketika sesi walkabout ke Jalan Alor, di sini hari ini.

“Kita masih dalam Perintah Kawalah Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadi dalam proses ini kita mahu menggalakkan permintaan domestik, perniagaan dan kedatangan pelanggan perlu dipulihkan supaya kemudian nanti bila sempadan dibuka, kedatangan pelancong juga dipulihkan,” tambahnya.

Pada acara itu juga, Persatuan Peniaga dan Penjaja Jalan Alor Kuala Lumpur telah melancarkan Kempen Pemulihan Industri Pelancongan Bukit Bintang ‘JOM BB’ untuk membantu peniaga di sekitar dalam memulihkan peniagaan mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Program itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). - Bernama

Artikel Berkaitan: