RM300 beri kelegaan kepada sukarelawan

Rina menyampaikan 'mock cheque' kepada Rokiah (empat kanan) ketika melakukan kunjungan ke Kampung Sungai Tembak B hari ini.
Rina menyampaikan 'mock cheque' kepada Rokiah (empat kanan) ketika melakukan kunjungan ke Kampung Sungai Tembak B hari ini.
A
A
A

BALING - Pemberian sebanyak RM300 secara 'one off' kepada sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah memberi kelegaan kepada golongan itu.

Sukarelawan, Siti Zaitun Yahaya, 46, berkata, penglibatan selama 10 tahun dalam program tersebut memberi peluang untuk berbakti kepada klien khususnya warga emas yang memerlukan.

Bagaimanapun, katanya, bukan imbuhan yang diharapkan sebaliknya keberkatan dan ganjaran pahala dari ALLAH SWT yang dimohon selain sebagai persediaan menempuh hari tua.

"Atas rasa tanggungjawab, saya bersyukur diberi peluang menyantuni warga emas terlantar, Mek Pah Said, 66, bagi memastikan keperluan sosial dan perkhidmatan diperlukan, dipenuhi," katanya yang turut berkongsi kisah Mek Pah.

Katanya, Mek Pah merupakan warga emas yang berdepan masalah mental (postnatal depression) sejak 47 tahun lalu iaitu selepas melahirkan anak tunggal beliau.

Dia juga telah ditinggalkan suami menyebabkan masalah kesihatannya bertambah serius dan merayau di sekitar kampung sebelum terlibat kemalangan beberapa tahun mengakibatkan koma selama tujuh bulan dan patah kaki.

"Alhamdulillah, setelah empat tahun menjadi sukarelawan yang menemani Mek Pah dan anaknya, Haliza Hassan, 47, keadaan kesihatannya semakin baik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KPWKM peruntuk RM1 juta bantu 3,333 sukarelawan

Artikel Berkaitan:

Siti Zaitun berkata, tugas yang dilakukan setiap minggu di rumah Mek Pah ialah memberi semangat dan motivasi kepada Haliza untuk menjaga ibunya selain membersihkan rumah dan membawa ke klinik sekiranya diperlukan.

Katanya, setiap sukarelawan diberi elaun sebanyak RM150 bagi menyantuni empat orang klien dengan kekerapan seminggu sekali kunjungan dibuat ke rumah.

"Keprihatinan kerajaan memberi peruntukan RM300 seorang bawah Insiatif Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) telah memberi kami semangat untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat,"katannya.

Siti Zaitun merupakan salah seorang sukarelawan yang diraikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dalam lawatan ke rumah Mek Pah di Kampung Sungai Tembak B hari ini.

Dalam kunjungan itu, Rina telah menyerahkan 'mock cheque' bernilai RM60,600 kepada Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) Kedah, Datuk Rokiah Hashim yang akan diagihkan kepada 202 sukarelawan.

MPKSM Negeri Kedah merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan Program Khidmat Bantu di Rumah di negeri ini.