Solat jemaah bawah khemah

Pelajar Sekolah Agama Pengkalan Batu menunaikan solat berjemaah di bawah khemah.
Pelajar Sekolah Agama Pengkalan Batu menunaikan solat berjemaah di bawah khemah.
A
A
A

MERSING - Terpaksa menggunakan khemah untuk menunaikan solat berjemaah itulah situasi yang perlu dilalui pelajar Sekolah Agama Pengkalan Batu di sini sejak sebulan lalu.

Ketua Kampung Pengkalan Batu, Abd Aziz Ismail berkata, ini berikutan pertambahan kemasukan pelajar baharu pada tahun ini menyebabkan pihak sekolah mengambil inisiatif tersebut bagi meneruskan sesi pembelajaran.

Menurutnya, sekolah berkenaan mempunyai dua bangunan, namun salah satu bangunan tidak dapat digunakan kerana telah diserang anai-anai bahkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah mengisytiharkan ia tidak selamat.

“Disebabkan pelajar ramai, sebuah bangunan yang menempatkan pejabat guru tidak dapat menampung semua pelajar menyebabkan surau sedia ada terpaksa dijadikan kelas.

“Jadi kita terpaksa minta ihsan pejabat daerah khemah untuk dijadikan tempat anak-anak solat berjemaah. Anak-anak ini tidak boleh menggunakan sebuah lagi bangunan kerana tidak selamat ekoran serangan anai-anak sejak 2017,” katanya.

Tambahnya, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak pejabat daerah yang sudi memberikan khemah sementara itu untuk kemudahan pelajar di sekolah berkenaan.

Katanya, kini apa diharapkan pihak sekolah agar pembinaan bangunan baharu sekolah di tapak bangunan uzur itu akan disegerakan.

“Kita difahamkan bangunan sekolah yang tidak selamat digunakan itu akan dirobohkan dan akan dibina baharu.

Artikel Berkaitan:

“Kita harap proses pembinaan tersebut tidak akan mengambil masa yang lama. Ini kerana anak-anak pelajar di sini berdepan kesukaran untuk solat berjemaah terutamanya ketika hujan,” katanya.