Covid-19: 170 kes baharu di Singapura, 24 kes dalam komuniti

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA - Singapura yang baru selesai mengadakan pilihan raya umum semalam melaporkan 170 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan 24 daripadanya ialah kes dalam komuniti.

Dengan perkembangan terkini itu, jumlah kumulatif jangkitan wabak itu mencecah 45,783 kes di republik itu yang memasuki fasa kedua pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini, daripada 24 kes itu, tujuh adalah warga tempatan atau pemastautin tetap dan 17 pemegang pas kerja.

MOH berkata, terdapat satu kes import yang diberikan Notis Duduk Dirumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.

Kementerian itu berkata, majoriti kes hari ini masih lagi dalam kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 609 sebagai kes import, 2,027 adalah kes komuniti dan 42,977 kes melibatkan penghuni asrama.

Setakat 12 tengah hari semalam, 41,780 atau kira-kira 92 peratus daripada pesakit pulih sepenuhnya dan didiscaj dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sebanyak 203 kes disahkan masih berada di hospital semalam dengan seorang dirawat di unit rawatan rapi

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu berkata, 3,604 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal tetapi masih positif dalam ujian Covid-19 telah diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 26 orang mati akibat komplikasi Covid-19 dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam. - Bernama