Rundingan akhir projek RTS minggu depan

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rundingan akhir Projek Sistem Transit Rapid (RTS) dijangka diadakan pada minggu depan sebelum perjanjian membabitkan Malaysia dan Singapura dapat dimuktamadkan menjelang akhir bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya berharap agar dua isu berbangkit berhubung projek menghubungkan Johor dan Singapura itu dapat diselesaikan pada rundingan itu dan seterusnya menyemak kandungan perjanjian sebelum dokumen tersebut ditandatangani.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya turut menunggu pembentukan Kabinet baharu kerajaan Singapura yang baru selesai mengadakan pilihan raya umum untuk merealisasikan projek tersebut.

“Sekiranya kita dapat selesaikan rundingan pada minggu hadapan, maka sudah sampai masanya untuk kita memeterai perjanjian itu. Kesemua (rundingan) ini kita perlu lakukan sebelum 31 Julai ini.

“Saya yakin Kementerian Pengangkutan yang mengetuai rundingan bersama-sama agensi lain akan dapat mengatasi satu persatu (isu berkenaan),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Johor di Pejabat MCA negeri di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan RTS berikutan mesyuarat jawatankuasa teknikal projek itu yang dijadualkan pada Isnin ini.

Projek RTS sepanjang empat kilometer itu menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

Ka Siong berkata, kementerian itu juga dalam proses membaiki dan membaik pulih landasan rel yang menghubungkan Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah.

Artikel Berkaitan:

“Saya agak kecewa kerana kemajuannya agak lambat. Kita kena ambil tindakan cepat kerana kedua-dua pelabuhan ini mengendalikan kargo kontena yang banyak.

“Kita perlu menggunakan rel sedia ada secara optimum untuk selesaikan masalah kesesakan,” katanya ketika mengulas mengenai pertemuannya dengan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad kelmarin. - Bernama