30,000 veteran tidak berpencen digesa daftar JHEV

Ismail Sabri (dua dari kiri) ketika membuat kunjungan ke rumah Abd Zahid (dua dari kanan) di Kampung Suang Parai, Menggatal hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua dari kiri) ketika membuat kunjungan ke rumah Abd Zahid (dua dari kanan) di Kampung Suang Parai, Menggatal hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pertahanan masih mencari dan mengenal pasti kira-kira 30,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen dan masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta anggota veteran berkenaan supaya mendaftar dalam laman sesawang JHEV bagi membolehkan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dapat disalurkan.

"Kita minta mereka (veteran) daftar segera sebab kalau tidak (berdaftar), kita tidak dapat bagi bantuan walaupun kerajaan menyediakan bantuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan sempena Program Cakna Veteran ATM di Kampung Suang Parai, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, dalam bantuan Prihatin yang diumumkan kerajaan pada April lepas, bantuan sebanyak RM500 secara sekali bayar akan diagihkan kepada veteran berpencen dan yang tidak berpencen sehingga September ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 80,000 veteran ATM yang tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV ATM.

Di negeri Sabah terdapat kira-kira 16,000 veteran ATM dan masih ada yang belum berdaftar dengan JHEV.

Ismail Sabri berkata, antara faktor yang menyebabkan veteran itu tidak berdaftar disebabkan duduk jauh di kawasan pedalaman selain tidak mengetahui maklumat berkenaan.

"Oleh sebab itu kita minta persatuan veteran supaya mengesan veteran ini kerana di setiap daerah dan kawasan ada persatuan veteran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai lawatan itu, Ismail Sabri berkata, ia merupakan sebahagian program cakna yang dilaksanakan sepanjang masa bagi membantu veteran yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, dalam lawatan itu bantuan berbentuk wang daripada kutipan Kempen Tabung Pahlawan selain makanan turut diberikan kepada veteran Abd Zahid Said.

Sementara itu, Abd Zahid, 35, yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat berterima kasih dengan keprihatinan menteri yang melawat ke kediamannya di sini.

Berasal dari Semporna, beliau telah berkhidmat di TLDM selama 13 tahun sebelum berhenti pada 2017 kerana perlu menjaga isterinya yang menghidap kanser tiroid selain lima anak berusia antara satu hingga 12 tahun.

Katanya, sejak berhenti daripada TLDM beliau tidak mempunyai pendapatan tetap malah pernah tinggal di dalam khemah selama tiga bulan kerana tidak mempunyai tempat tinggal.

"Saya amat berterima kasih dengan kedatangan menteri (Ismail Sabri) yang bersedia membantu memberikan bot dan enjin untuk saya mencari rezeki buat keluarga," katanya yang baru berpindah tiga bulan lalu ke kediaman didudukinya sekarang.- Bernama