X

Kindly register in order to view this article
!

Azmin puji Muhyiddin, sindir Anwar

Azmin (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan aktiviti tahunan kepada Masjid Ar-Rahimah, Gombak hari ini.
A
A

GOMBAK - Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membandingkan kepimpinan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamed Azmin menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang yang tenang menyerap tekanan sementara Anwar masih terus bercita-cita menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, ciri-ciri pemimpin hebat itu boleh dilihat ketika mereka berdepan krisis.

"Kalau tak ada krisis, semua orang boleh mendakwa boleh jadi pemimpin. Ada pihak sampai 20 tahun tak habis bincang nak jadi PM.

"Tetapi kita hari ini dengan tegas, berani dan tanggungjawab meletakkan fokus peduli rakyat dan memulihkan ekonomi sebagai agenda utama Perikatan Nasional," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Ekonomi) berkata demikian ketika berucap di program makan tengah hari bersama pimpinan kawasan rukun tetangga (KRT) seluruh Gombak Setia serta penyampaian sijil disinfeksi kepada masjid dan surau Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Masjid Ar-Rahimah Taman Greenwood, di sini hari ini.

Katanya, Muhyiddin membuktikan dalam tempoh kurang lima bulan sebaik diberikan mandat, berjaya menangani pelbagai krisis demi rakyat dan kemakmuran negara.

"Beliau berdepan cabaran politik pada awal tahun ini, kemudian krisis ekonomi, harga minyak merudum dan hari ini berdepan krisis kesihatan namun kekal tenang berjaya menghadapi krisis itu.

"Saya harap rakyat terus beri dukungan kerana buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia berjaya mengumpulkan semua kekuatan umat Melayu dan Islam membangunkan negara," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus