Kerajaan jamin aspek keselamatan pengamal media

Eddin Shazlee (empat kanan) beramah mesra dengan ahli Kemudi selepas Mesyuarat Agung Kali Ke-8 di Rumah Wartawan semalam.
Eddin Shazlee (empat kanan) beramah mesra dengan ahli Kemudi selepas Mesyuarat Agung Kali Ke-8 di Rumah Wartawan semalam.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan memberi jaminan keselamatan pengamal media terutamanya wartawan akan menjadi tanggungjawab penting bagi kerajaan baru PH.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Shazlee Shith berkata, kerajaan tidak mahu media merasa terancam ketika menunaikan tanggungjawab dalam menyebarkan maklumat semasa.

Beliau berkata, wartawan melaporkan apa yang berlaku setiap hari dan tetap menyumbang kepada maklumat sangat berguna kepada kerajaan dan negara.

“Saya harap hubungan kerajaan dan wartawan akan bertambah rapat dari semasa ke semasa. Saya harap cadangan untuk mewujudkan Majlis Media akan dapat direalisasikan untuk masa depan lebih terjamin termasuk dalam isu keselamatan.

“Isu keselamatan ini perlu diteliti dan kalau perlu kita akan buat. Kita tidak mahu rakan media terasa wujudnya ancaman yang boleh mengekang mereka dalam menunaikan tanggungjawab,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-8 Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Rumah Wartawan semalam.

Eddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah melahirkan rasa bangga dengan usaha Kemudi mewujudkan Rumah Wartawan dalam usaha mengeratkan hubungan sesama rakan media dan menjadikan Rumah Wartawan sebagai enap desa untuk menjana pendapatan kelab berkenaan.

Hadir sama Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Azhar Ismail dan Presiden Kemudi, Azran Fitri Ab Rahim.

Sementara itu katanya, kerajaan PH sentiasa memantau kebebasan media dan sangat berhati- hati dalam perkara berkaitan.

Artikel Berkaitan: