Sultan Selangor harap jasa Khoo Kay Kim terus dikenang

Sultan Selangor berkenan menerima menghadap balu kepada Kay Kim, Puan Sri Rathi Khoo dan dua anak mendiang iaitu Eddin dan Rubin Khoo pada Khamis lalu.
Sultan Selangor berkenan menerima menghadap balu kepada Kay Kim, Puan Sri Rathi Khoo dan dua anak mendiang iaitu Eddin dan Rubin Khoo pada Khamis lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kurang senang terhadap persepsi dan layanan segelintir pihak yang seakan memandang sepi segala sumbangan dan kepakaran tokoh sejarawan negara, mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika hayatnya.

Baginda juga menzahirkan rasa hairan apabila masih ada ahli politik tertentu mengambil remeh kepentingan sejarah bangsa di Malaysia yang sering ditekankan oleh mendiang untuk dijadikan tauladan serta pengajaran.

Titahnya, semua pihak khususnya ahli politik perlu belajar dan memahami sejarah dengan betul sekiranya mahu terus bergerak ke masa hadapan yang lebih baik.

“Beta berharap jasa-jasa dan sumbangan sejarawan seperti Tan Sri Dr Khoo Kay Kim terus dikenang oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

“Ini kerana, mendiang adalah simbol kepada semangat perpaduan Malaysia yang sebenar,” titah baginda menerusi satu kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda sebelum itu berkenan menerima menghadap balu kepada Kay Kim, Puan Sri Rathi Khoo dan dua anak mendiang iaitu Eddin dan Rubin Khoo pada Khamis lalu.

Sultan Selangor ketika menerima menghadap balu kepada Kay Kim, Puan Sri Rathi Khoo dan dua anak mendiang iaitu Eddin dan Rubin Khoo pada Khamis lalu.
Sultan Selangor ketika menerima menghadap balu kepada Kay Kim, Puan Sri Rathi Khoo dan dua anak mendiang iaitu Eddin dan Rubin Khoo pada Khamis lalu.

Dalam pertemuan itu, Rathi merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan baginda Sultan Selangor mengabadikan nama mendiang suaminya di sebuah jalan di Petaling Jaya yang kini dikenali sebagai Jalan Profesor Khoo Kay Kim.

Artikel Berkaitan:

Baginda yang mengenali mendiang sejak awal tahun 1980-an turut menyampaikan penghargaan dan rasa sukacita terhadap jasa bakti mendiang ketika hayatnya terutama dalam menyuarakan pendapat dan buah fikiran bernas dalam pelbagai bidang khususnya sejarah tempatan.

Baginda bertitah, kagum dengan semangat dan usaha mendiang yang sentiasa mengutamakan fakta sejarah benar dan sahih dalam penyampaiannya sekalipun terdapat pihak yang cuba memutar belitkan fakta sejarah.

“Ini termasuk menyemarakkan kembali semangat cintakan sejarah dalam kalangan anak muda serta dalam pembangunan arena sukan tempatan khususnya bola sepak,” titah baginda.

Kay Kim yang berusia 82 tahun meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 28 Mei tahun lalu. Mendiang merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969.

Kay Kim yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga orang anak, Eddin, Rubin dan Mavin.