Kerana mabuk cinta, wanita ditipu RM112,000

Wanita berusia 37 tahun itu dikatakan bercinta dengan lelaki terbabit tanpa menyedari dia sebenarnya terjerat dengan sindiket Love Scam.
Wanita berusia 37 tahun itu dikatakan bercinta dengan lelaki terbabit tanpa menyedari dia sebenarnya terjerat dengan sindiket Love Scam.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penjawat awam kerugian RM112,000 selepas diperdaya kekasih yang baru dikenali melalui aplikasi Telegram awal Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 37 tahun itu berkenalan dengan lelaki berkenaan yang kononnya seorang anggota tentera Amerika Syarikat.

Menurutnya, wanita berkenaan menjalin hubungan cinta dan mahu berkahwin dengan lelaki itu tanpa mengesyaki muslihat sebenar.

"Mangsa semakin teruja apabila 'kekasihnya' memberitahu mahu ke Malaysia untuk berjumpa dengannya seterusnya menguruskan proses perkahwinan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noorzainy berkata, akibat dilamun cinta mangsa hanya mengikut kehendak kekasihnya termasuk mempercayai kisahnya yang berdepan masalah selepas akaun banknya disekat kerana dia merupakan Tentera Amerika Syarikat.

Katanya, suspek kemudian meminta wang daripada mangsa sebanyak RM65,000 sebagai perbelanjaan bagi perjalanan dari Amerika Syarikat ke Malaysia selain wang persediaan perkahwinan mereka.

"Tanpa rasa sangsi mangsa kemudiannya telah memasukkan wang tersebut ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.

"Lelaki itu turut meminta mangsa membuat pinjaman peribadi sebanyak RM47,000 dan setelah pinjaman lulus mangsa dikatakan telah memberi wang berkenaan kepada kekasihnya itu,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Norzainy berkata, mangsa kemudiannya melakukan sebanyak 17 transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun bank berjumlah RM112,000.

"Mangsa bagaimanapun menyedari terperangkap dengan sindiket love scam dan terus membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah jatuh cinta atau terpedaya dengan pujuk rayu individu yang baru dikenali melalui laman sosial atau mempercayai akan terima barangan berharga daripada kenalan tersebut.