The Blues silap jika lepaskan Willian

Willian Borges - Foto Sumber Internet
Willian Borges - Foto Sumber Internet
A
A
A

Bekas pertahanan Chelsea, Glen Johnson menyifatkan pasukannya itu melakukan kesilapan sekiranya membuat keputusan untuk melepaskan pemain Brazil, Willian Borges, 30 khususnya jika ia menerusi perpindahan secara percuma (free transfer).

Johnson berkata, Willian boleh diibaratkan sebagai pemain yang baik buat Chelsea sejak berada di Stamford Bridge pada musim 2013 lalu apabila dilihat sering memberikan aksi terbaik apabila diturunkan.

Malah menurutnya, Willian kini berada pada tahap prestasi terbaiknya apabila menjaringkan empat gol dalam enam penampilan sejak saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung semula.

"Ia pasti akan membuatkan saya marah jika Willian dilepaskan, apatah lagi secara percuma (free transfer). Kemudian, anda cuba menggantikannya dan anda berbelanja pula sekitar 40, 50 dan 60 juta.

"Daripada apa yang saya tahu, Willian dikatakan hampir pasti meninggalkan kelab berkenaan musim panas nanti, Oleh itu saya meramalkan kelab ini akan menyesal dengan keputusan berkenaan," katanya.

Untuk rekod, kontrak Willian dilaporkan hampir tamat dan pemain berkenaan dijangka tidak akan menandatangani kontrak baharu bagi melanjutkan aksinya di Stamford Bridge.

Difahamkan, Willian telah memohon kontrak selama tiga tahun, namun telah ditawarkan kontrak selama dua tahun oleh skuad The Blues itu.

Sementara itu Johnson berkata, seorang lagi pemain Brazil yang mungkin tidak disambung kontrak untuk beraksi bersama Chelsea adalah penolong kapten, Jorginho.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengendali Chelsea, Frank Lampard mahu melepaskan pemain berkenaan berikutan pemain berkenaan tidak berpeluang mendapatkan minit bermain musim ini.

"Bagi saya, ia bukan alasan untuk melepaskan pemain berusia 29 tahun itu kerana dia seorang pemain yang baik dan sudah pasti Lampard lebih mengenalinya berbanding saya.

"Bagaimanapun, kelab ini memiliki skuad yang besar dan menyebabkan tidak semua pemain dapat beraksi. Saya juga tidak katakan bahawa Lampard mahu menyingkirkan pemain berkenaan cuma saya pasti dia (Lampard) hanya melakukan penggiliran pemain bagi menyaksikan kemampuan pemain-pemain lain pula," katanya.