X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh lelaki ditahan jual air ketum

A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan menahan tujuh lelaki dan merampas 176 bungkus air ketum serta 62 botol cecair ubat batuk berjumlah keseluruhan RM14,000 dalam dua serbuan berasingan semalam.

Pegawai Pemerintah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Desa Tasnim, Gual Nering pada jam 8.31 malam pihaknya menahan empat lelaki.

Menurutnya, PGA Batalion 7 merampas 66 bungkus air ketum bernilai RM10,700 yang disimpan di dalam but sebuah kereta di depan rumah berkenaan.

"Dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Nering Jaya, Gual Tinggi pada jam 10.18 malam, PGA Batalion 7 menahan tiga lelaki berusia sekitar 20-an.

"Hasil pemeriksaan, PGA Batalion 7 menjumpai sebuah besen yang mengandungi 110 bungkus air ketum dan satu kotak besar yang mengandungi 62 botol ubat batuk dalam sebuah bilik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes pertama di Gual Nering akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1951 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Kes kedua pula akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai menjual air ketum di kawasan sekitar sebagai sumber pendapatan harian.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus