Suri rumah rugi lebih RM5,000 terpedaya iklan saham

PDRM
PDRM
A
A
A

KUANTAN - Seorang suri rumah kerugian lebih RM5,000 akibat terpedaya dengan iklan pelaburan saham Bit Forex melalui aplikasi Instagram pada 22 Jun lalu yang menawarkan pulangan berlipat kali dalam tempoh 48 jam kelmarin.

Mangsa berusia 20 tahun berurusan dengan seorang wanita memperkenalkan diri sebagai penasihat kewangan syarikat pelaburan terbabit sebelum memilih pelaburan pakej plan B dengan nilai pelaburan serendah RM800 namun menjanjikan pulangan RM8,640 dalam tempoh dua hari.

Mangsa turut dijanjikan hadiah percuma berupa telefon pintar jenis IPhone selain peluang keuntungan lebih tinggi secara berperingkat hasil pelaburan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, hasrat mangsa untuk menikmati keuntungan hasil pelaburannya lebur apabila wang itu gagal diterima sebaliknya wang sendiri berjumlah RM5,289 lesap.

"Mangsa ditawarkan pakej pelaburan bernilai serendah RM500 hingga RM3,000 sebelum dia memilih pakej saham plan B bernilai RM800.

"Bagi tujuan itu, mangsa menyerahkan semua butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank untuk proses permohonan selain membuat bayaran wang pelaburannya.

"Teruja dengan keuntungan lumayan yang bakal dikecapi, mangsa membuat bayaran pelaburan melalui transaksi perbankan internet ke akaun bank yang diberikan suspek pada 6 Julai lalu.

"Mangsa mula curiga apabila dimaklumkan suspek bahawa bayaran pengeluaran itu tergantung dalam sistem dan bagi mengaktifkannya kembali, dia perlu menjelaskan yuran proses sebanyak RM1,750," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, mangsa yang mula curiga dan syak telah ditipu dengan urusan pelaburan itu membuat laporan polis di Balai Polis Maran semalam.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, " katanya.