Pernah dituduh buat kerja gila

Mohd Nazry (dua, kanan) bersama ahli Perkeba dan SAM menyantuni penduduk.
A
A

BALING - Pernah dituduh buat kerja gila suatu ketika dahulu bukan penghalang kepada pengasas Pertubuhan Kebajikan Penduduk Baling (Perkeba) berkhidmat kepada penduduk.

Ditubuhkan pada hujung 2010, NGO yang diasaskan Mohd Nazry Md Bidin terus aktif menyantuni penduduk.

Mohd Nazry yang dilantik sebagai Setiausaha Kehormat Perkeba berkata, dia terdetik menubuhkan sebuah NGO selepas melihat abangnya, Mohd Zubir Md Bidin yang menderita sakit usus tidak menerima perhatian sewajarnya.

"Arwah abang saya ketika itu tidak mendapat perhatian daripada pemimpin dan juga agensi terlibat sedangkan keadaannya memerlukan bantuan. Suatu hari saya terfikir bagaimana jika perkara sama ini terjadi pada orang lain, dari situlah timbul idea untuk menubuhkan Perkeb.

"Orang pernah kata saya buat kerja gila sebab bantu orang bukan dapat duit malah kena keluarkan duit lagi adalah, tetapi semua kata-kata itu saya anggap sebagai ujian biasa," katanya.

Mohd Nazry berkata, dia minat berkaitan kerja amal sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya juga sentiasa ingat pesanan arwah mak, jika nak murah rezeki banyakkan bersedekah kepada orang. Alhamdulillah, sehingga kini nasihat mak saya buat dengan bersedekah melalui Perkeba," katanya.

Mohd Nazry (kiri) menyerahkan sumbangan al-Quran kepada kepada wakil pihak sekolah.
Mohd Nazry (kiri) menyerahkan sumbangan al-Quran kepada kepada wakil pihak sekolah.

Mengakui diri semakin dikenali sejak bersama Perkeba, Mohd Nazry berkata, semua itu bukan yang dikejar dalam hidup.

"Saya akui dulu orang tak berapa kenal, tetapi sekarang di kampung orang selalu sebut 'Nazry Perkeba'.

"Walaupun begitu, saya bukanlah seorang yang mahu mengejar nama. Semua itu tidak penting kerana apa yang diharapkan keredhaan ALLAH," katanya.

Mohd Nazry berkata, Perkeba bukanlah sebuah penubuhan yang memberikan bantuan secara langsung kepada orang kampung.

"Sebaliknya tugas kita memudahkan pesakit untuk berurusan dengan agensi berwajib tanpa mengambil duit satu sen pun.

"Kita bukan pertubuhan yang beri duit kepada pesakit, tetapi kita menjadi perantaraan antara agensi kerajaan dan penduduk Baling. Setiap aduan penduduk kita bawa kepada agensi terlibat untuk diberikan perhatian. Bantuan kita merentasi politik, bangsa dan agama. Kita membantu siapa sahaja," katanya.

Mohd Nazry berkata, sebilangan penduduk masih tidak menerima maklumat penuh berkaitan Perkeba.

"Ada yang datang pejabat kita minta bantuan duit dan sebagainya, justeru kita harap penduduk faham tugas sebenar Perkeba," katanya.

Dicemuh kata-kata nista

Mohd Nazry berkata, di awal penubuhan Perkeba, dia menerima pelbagai kecaman daripada masyarakat.

"Macam-macam kata buruk pada awalnya dilemparkan kepada saya. Tohmahan itu sama ada daripada masyarakat mahupun parti politik.

"Tetapi Alhamdulillah, kini dah hampir 10 tahun, masyarakat Baling dapat terima dan memberikan sokongan kepada kami," katanya.

Bertukar pucuk pimpinan

Hampir 10 tahun hingga kini, pucuk pimpinan Perkeba bersilih ganti.

"Penaung Perkeba pertama ialah Datuk Dr Mashitah Ibrahim ( Exco Wanita Umno Malaysia) kedua ialah Datuk Azmi Che Husain (mantan Adun Bayu) dan terkini ialah Mohd Noor Mohd Amin (mantan Ketua Pemuda Umno Baling)," katanya.

Mohd Nazry (kanan) meninjau masalah penduduk.
Mohd Nazry (kanan) meninjau masalah penduduk.

Beliau berkata, pertukaran juga berlaku perubahan di peringkat Yang Dipertua (YDP).

"YDP Perkeba hari ini ialah Jhanghir Khan Kathem Khan seorang yang begitu berdedikasi," katanya.

Perkeba semakin maju

Mohd Nazry berkata, jika dibandingkan usia Perkeba yang hampir sedekad, persatuan itu bertambah maju di bawah pimpinan Mohd Noor.

"Beliau banyak membantu persatuan dengan menyediakan pejabat baharu di Batu 42 serta memberikan sumbangan kepada penduduk," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia