KPWKM peruntuk RM1 juta bantu 3,333 sukarelawan

Rina ketika melawat Mek Pah di Kampung Sungai Tembak B, Mukim Pulai, Kupang hari ini.
Rina ketika melawat Mek Pah di Kampung Sungai Tembak B, Mukim Pulai, Kupang hari ini.
A
A
A

BALING - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan RM1 juta bawah Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) kepada 3,333 orang sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, bantuan khas secara 'one off' sebanyak RM300 seorang itu diagihkan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) awal bulan ini.

"Program Khidmat Bantu Di Rumah dilaksanakan sukarelawan dari segi bantuan sokongan moral atau lain-lain perkhidmatan kepada warga emas dan orang kurang upaya yang tinggal bersendirian atau berkeluarga di rumah.

"Sukarelawan program ini akan mengadakan lawatan ke rumah untuk memberikan perkhidmatan sokongan seperti memberi nasihat, membersihkan rumah atau membawa ke hospital sekurang-kurangnya sejam sekali lawatan dengan kekerapan satu kali seminggu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke rumah Mek Pah Said, 66, di Kampung Sungai Tembak B, Mukim Pulai, Kupang di sini hari ini.

Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan secara kerjasama strategik antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).

"Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (MPKSM) Kedah yang menguruskan Program Khidmat Bantu di Rumah turut menerima replika cek bernilai RM60,600 untuk diagihkan kepada 202 orang sukarelawan di negeri ini.

"Semoga pelaksanaan inisiatif Penjana dapat meningkatkan motivasi sukarelawan sedia ada dan pada masa sama menggalakkan penyertaan masyarakat setempat terlibat sebagai mata dan telinga kementerian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kementerian menyasarkan kira-kira 10,000 sukarelawan berdaftar dalam tempoh dua tahun yang bukan sahaja berperanan membantu klien memerlukan namun memupuk kasih sayang, mengambil berat dan prihatin terhadap golongan memerlukan.

Terdahulu, Rina menyampaikan kerusi roda kepada Mek Pah yang juga salah seorang klien Program Khidmat Bantu di Rumah dalam kunjungan di Kampung Sungai Tembak B.