‘Beri susu, dibalas tuba’

Pagar keselamatan yang dipotong peniaga durian.
Pagar keselamatan yang dipotong peniaga durian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Diberi susu, tetapi dibalas pula dengan tuba. Itu perumpamaan boleh digambarkan terhadap seorang peniaga durian di Jalan Kilang, Setapak di sini yang diberikan permit perniagaan sementara namun bertindak merosakkan harta benda awam.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung perbuatan peniaga tersebut daripada orang awam.

Menurut kenyataan itu, peniaga durian terbabit didapati merosakkan pagar keselamatan yang dibina DBKL dengan bertindak memotongnya.

Difahamkan, peniaga terbabit bertindak demikian bagi memudahkannya berniaga buah tersebut di tepi jalan.

”Kami dah bantu anda untuk berniaga...kenapa perlu merosakkan harta benda awam....?

“Peniaga yang diberikan permit untuk berniaga sementara diingatkan untuk tidak merosakkan harta benda awam di kawasan perniagaan mereka. Salah laku ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook DBKL hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, DBKL mengeluarkan notis kompaun atas kesalahan merosakkan harta benda Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah seksyen UUK Vandalisme WPKL 1991 UUK 3 (e) kepada peniaga terbabit.

Artikel Berkaitan:

Peniaga durian di Jalan Kilang, Setapak yang dikompaun kerana memotong pagar keselamatan DBKL.
Peniaga durian di Jalan Kilang, Setapak yang dikompaun kerana memotong pagar keselamatan DBKL.

Dalam pada itu, DBKL meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan musnah laku (vandalism) terhadap harta benda awam supaya berhubung dengan Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800883255.

Dalam perkembangan berasingan, DBKL mengeluarkan 26 kompaun atas pelbagai kesalahan ketika Operasi Penguatkuasaan Anti Litter oleh Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar di sekitar Lake Fields, Bandar Tun Razak.

Menurut kenyataan itu, kompaun dikeluarkan kepada premis yang menyalurkan cecair kotoran di atas jalan awam hingga menyebabkan kerosakan pada permukaan jalan, membuang sampah di atas siar kaki hadapan premis dan tidak memasukkan sisa buangan ke dalam tong sampah.

“Pemilik premis juga dikenakan tindakan kerana meletakkan barang perniagaan di atas siar kaki awam dan menyebabkan halangan kepada kerja- kerja pembersihan.

“Sebanyak 17 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 47(1)(d), tiga kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d) dan enam kompaun di bawah Seksyen 47(1)(a),” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan, dalam operasi tersebut pemilik turut diberi peringatan mesra supaya bersama-sama menjaga kebersihan premis mereka.