X

Kindly register in order to view this article
!

PKR dah tak relevan, kata Azmin

Azmin menyantuni ahli LKPIM cawangan Kampung Nakhoda hari ini.
A
A

BATU CAVES - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lagi relevan apabila tidak bersikap adil terhadap pemecatan ahli-ahlinya.

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, itu antara sebab anggota termasuk pimpinan tertinggi PKR hilang keyakinan terhadap parti itu.

"Mereka berbicara soal reformasi dan keadilan tapi mereka tak boleh lakukan keadilan kepada anggotanya sendiri.

"Bagaimana mereka boleh membawa prinsip keadilan dalam negara kalau prinsip keadilan ini tidak dapat diterjemahkan dalam proses tindakan disiplin terhadap anggotanya dalam parti," katanya mengulas pemecatan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Ekonomi) berkata demikian sewaktu program sarapan pagi dan dialog bersama Persatuan Warga Emas Kampung Nakhoda dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Cawangan Kampung Nakhoda, di sini hari ini.

Azmin berkata, pemecatan Haniza dalam parti yang turut digugurkan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dianggap tidak adil.

"Bagi saya YB Haniza seorang pemimpin yang cukup dihormati. Yang penting beliau terus bertekad meneruskan perjuangan melalui pertubuhan yang dibentuk iaitu Nation of Women untuk menggerak seluruh kekuatan wanita dalam pembangunan negara.

"Saya rasa peranan tersebut lebih baik daripada kekal dalam parti atau kerajaan tetapi menjadi pengemis kepada pemimpin yang zalim," katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Haniza Talha digugurkan sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor susulan pemecatannya daripada PKR hujung bulan lalu.

Portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar akan dipangku beliau dan sebarang program berkaitan portfolio itu turut ditangguhkan buat sementara waktu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus