X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan tumpu pulihkan ekonomi kumpulan B10

Mustapa Mohamed
A
A

TANAH MERAH - Kerajaan akan memberi tumpuan untuk membantu memulihkan ekonomi rakyat dalam kumpulan B10 atau yang berpendapatan bawah RM2,500.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, B10 adalah pecahan kepada kumpulan asas B40 yang sebelum ini mempunyai satu kelompok sahaja.

"Seperti yang kita jangka, kemiskinan di luar bandar lebih tinggi daripada kemiskinan di bandar dan juga kemiskinan dalam kalangan orang Melayu lebih tinggi berbanding India dan Cina.

"Dulu ada satu kelompok sahaja di bawah B40, tapi sekarang kita buat empat kelompok di bawah B40. Kumpulan yang paling rendah di dalam B40 adalah B10, yang mana pendapatan kumpulan ini adalah kira-kira RM2,500 ke bawah.

"Jadi tumpuan kita akan disasarkan kepada pendapatan isi rumah ini, bukan secara inidividu. Insya-ALLAH, dengan maklumat yang lebih tepat yang kita perolehi ini, kita akan rangka strategi yang lebih terperinci termasuklah untuk memastikan bahawa pendekatan kita bersasar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis Perjumpaan Petugas dan Pemimpin Felda Kemahang 1,2,3,4 di Dewan Semai Bakti Felda Kemahang 2, di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan, nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional ialah pada kadar RM2,208 iaitu dalam kelompok sepuluh peratus terbawah isi rumah.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pendapatan penengah tumbuh sederhana sebanyak 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 pada tahun 2019 dan pendapatan purata pula meningkat 4.2 peratus setahun kepada RM7,901.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah merangka strategi yang lebih baik untuk menangani garis kemiskinan di negara ini.

Malah beliau berkata, kerajaan juga tidak akan melupakan kumpulan terpencil seperti masyarakat orang asli yang juga sedang menanti strategi yang lebih mantap untuk memajukan ekonomi mereka.

"Inilah perkara-perkara yang kita akan perhalusi lagi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan dimulakan tahun depan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus