PH Melaka laksana separuh tawaran manifesto

Mohd Sofi Abdul Wahab
Mohd Sofi Abdul Wahab
A
A
A

MELAKA TENGAH - PH Melaka melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan 44 dari 84 tawaran manifesto sehingga 31 Disember tahun lalu.

Naib Pengerusi PH Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, angka mewakili 52.38 peratus menunjukkan PH komited bekerja untuk rakyat termasuk 31 inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam tempoh 100 hari pemerintahan seperti yang pernah diumumkan Ketua Menteri, Adly Zahari baru-baru ini.

“Saya yakin Kerajaan PH Melaka akan mampu menyelesaikan 100 peratus tawaran itu sepanjang lima tahun pemerintahannya nanti.

“Jika dalam 7 bulan pun Kerajaan PH Melaka dapat melaksanakan 52 peratus tawaran, saya yakin hasrat untuk memastikan 100 peratus tawaran tersebut akan tercapai,” katanya.

Mohd Sofi yang juga Adun Durian Tunggal berkata, ada di antara tawaran tersebut memerlukan masa kerana ia melibatkan bajet dan penggubalan enakmen serta undang-undang baharu.

Menurutnya, terdapat juga tawaran yang berhubung kait dengan Kerajaan Pusat dan manifesto PH pusat yang memerlukan perbincangan terperinci.

Malah katanya, tohmahan serta tuduhan mengatakan PH hanya menabur janji-janji kosong pada PRU14 adalah meleset khususnya dalam konteks pentadbiran kerajaan.

“Pihak yang membuat tuduhan tersebut sama ada berniat jahat atau langsung tidak membuat kajian terperinci kepada tawaran yang PH Melaka bentangkan kepada rakyat semasa kempen pilihanraya umum yang lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan: