Hadiah tak dapat, rugi pula lebih RM5,000

Mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan dia memenangi hadiah cabutan bertuah berbentuk wang tunai daripada sebuah syarikat komunikasi. - Foto 123RF
Mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan dia memenangi hadiah cabutan bertuah berbentuk wang tunai daripada sebuah syarikat komunikasi. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Keterujaan seorang penuntut sebuah institut pengajian tinggi untuk menebus hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai RM7,000 yang ditawarkan sebuah syarikat telekomunikasi berkesudahan dengan kerugian apabila 'hadiah' yang dijanjikan itu hanyalah umpan sindiket penipuan.

Mangsa berusia 19 tahun itu mendakwa mengalami kerugian lebih RM5,000 apabila wang dalam akaun banknya dipindahkan pihak lain ketika berurusan untuk menebus hadiah tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan dia memenangi hadiah cabutan bertuah berbentuk wang tunai daripada sebuah syarikat komunikasi pada 5 Julai lalu.

Menurutnya, bagi menebus hadiah tersebut mangsa perlu membuat tambah nilai berjumlah RM280 ke nombor telefon sendiri dan caj penebusan hadiah akan ditolak daripada jumlah tambah nilai berkenaan.

"Selepas itu mangsa menerima mesej yang memaklumkan jumlah tambah nilainya sudah ditolak dan dikongsi kepada satu nombor telefon milik individu lain.

"Mangsa kemudiannya diminta menyerahkan maklumat perbankan internetnya termasuk kata laluan kepada lelaki berkenaan untuk proses pembayaran wang hadiah melalui akaun banknya," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas maklumat itu diserahkan mangsa menerima empat nombor kod kebenaran transaksi (TAC) pindahan wang melalui akaun banknya berjumlah RM600 hingga RM2,000 ke akaun bank milik orang lain pada 8 dan 9 Julai lalu.

"Mangsa diminta menyerahkan semua nombor TAC tersebut kepada lelaki berkenaan dan dia berbuat demikian tanpa menyedari wang dalam akaun banknya sudah dipindahkan.

Artikel Berkaitan:

"Dia juga diminta membuat bayaran tambahan RM1,000 sebagai cukai Bank Negara namun tidak membuat bayaran itu setelah mula curiga dengan urusan tersebut,"katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang syak ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Rompin semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis kini sedang mengesan pemilik akaun bank dan nombor telefon yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.