Sindiket judi sewa banglo kawasan kedutaan

42 ahli sindiket judi dalam talian ditahan di sebuah banglo di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
42 ahli sindiket judi dalam talian ditahan di sebuah banglo di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membongkar taktik baharu sindiket yang menjadikan sebuah banglo di kawasan kedutaan di Jalan Tun Razak di sini sebagai tempat pusat panggilan judi dalam talian.

Kegiatan terbabit terbongkar menerusi serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Dalam serbuan berkenaan, polis menahan 42 individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 18 hingga 34 tahun dan merampas 42 komputer riba serta 95 unit telefon bimbit.

Pemeriksaan yang dilakukan mendapati 37 daripada tangkapan adalah warga China dan selebihnya membabitkan warga tempatan.

Siasatan awal polis mendapati banglo terbabit disewa sindiket dengan bayaran RM50,000 sebulan untuk dijadikan sebagai tempat pusat panggilan bagi kegiatan perjudian dalam talian sejak sebulan lalu.

Sindiket berkenaan dipercayai mampu mengaut untung mencecah RM150,000 sehari dengan melakukan kegiatan haram itu.

Ini adalah kali pertama sindiket memilih kediaman di sekitar kawasan kedutaan berbanding sebelum ini iaitu di kondominium atau banglo di kawasan orang awam.

Selain itu, siasatan polis juga mendedahkan sindiket ini juga dipercayai terlibat dalam kegiatan Forex.

Artikel Berkaitan:

Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.