Utamakan tenaga tempatan

Skuad hoki wanita negara sebelum ini dibimbing Dhaarma Raj Abdullah.
Skuad hoki wanita negara sebelum ini dibimbing Dhaarma Raj Abdullah.
A
A
A

BEKAS pemain hoki kebangsaan, Maninderjit Singh berharap Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengutamakan jurulatih tempatan bagi mengisi jawatan pengendali skuad wanita negara.

“Bagi saya keutamaan perlu diberikan kepada jurulatih tempatan terlebih dahulu dan jika tidak memenuhi syarat, maka barulah ia boleh dibuka kepada jurulatih dari luar negara.

“Mereka semua tidak kira jurulatih tempatan atau luar negara seharusnya memenuhi beberapa kriteria, antaranya perlu memiliki kelayakan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Tahap 1 dan berpengalaman menjadi jurulatih lebih 10 tahun.

“Mereka juga perlu pernah mengendalikan pasukan negara sekurang-kurangnya empat tahun, profil kejayaan dengan senarai pencapaian pelbagai pasukan kebangsaan dan sekurang-kurangnya telah melatih pasukan Olimpik atau Piala Dunia.

“Mempunyai pengetahuan dan pengalaman mengenai teknologi yang berkaitan dengan sukan hoki serta metodologi latihan terkini dengan mengambil kira perubahan fasa moden hoki,” katanya kepada Sinar Harian.

Maninderjit Singh
Maninderjit Singh

Terdahulu, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, jurulatih baharu skuad Malaysian Tigress berkemungkinan akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan badan induk hoki negara itu hari ini.

“Kita akan bincang perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan esok (hari ini) dan kita akan maklumkan mengenai proses yang kita sudah lakukan dan keputusan terkini yang akan dibuat,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, proses pemilihan Ketua Jurulatih Malaysian Tigress terpaksa ditangguhkan akibat wabak Covid-19.

Difahamkan, seramai 23 calon disenaraikan oleh KHM dengan 12 daripadanya adalah calon luar negara.

Maninderjit turut menasihati KHM melantik panel berkecuali dalam proses pemilihan itu agar jurulatih yang bakal dilantik nanti seorang yang layak menggalas tanggungjawab tersebut.

“Panel bebas menjamin tiada unsur berat sebelah dalam keputusan memilih calon yang tepat. Mereka harus memberi jaminan kepada masyarakat umum bahawa prosedur pemilihan telus,” katanya.