'Tengok dulu macam mana'

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak mahu tergesa-gesa untuk memulakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) biarpun kerajaan telah memberikan kebenaran untuk penganjuran kejohanan dan pertandingan sukan bersentuhan fizikal diadakan mulai 15 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya belum membuat membuat sebarang keputusan kerana memahami kesemua pasukan perlu mengadakan persiapan rapi sebelum kembali menghadapi saingan Liga-M yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

“Apabila pihak kerajaan kata 15 Ogos boleh (diadakan semula pertandingan Liga-M), maksudnya mulai 15 Ogos itu dibenarkan untuk jalankan liga. Tetapi kita akan tengok dulu macam mana. Pasukan juga perlukan persiapan rapi untuk mula bersaing dalam liga nanti.

“Ini kerana selepas latihan kecergasan, kita tak boleh terus buat (anjur) liga kerana setiap pasukan memerlukan aksi persahabatan sebagai persediaan mengharungi pertandingan.

“Bagaimanapun, bagi saya buat masa ini paling ideal adalah 1 atau 2 September (untuk melangsungkan kembali aksi Liga-M). Apa-apa pun kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman yang dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi pembukaan sektor sukan serta rekreasi Fasa 3 dan 4 di Putrajaya semalam.

Fasa 3 yang berkuatkuasa bermula 15 Julai ini menyaksikan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal, selain penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan tiada bersentuhan fizikal tanpa penonton, dibenarkan.

Fasa 4 yang bermula 15 Ogos akan membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan bersentuhan fizikal tanpa penonton, antaranya saingan Liga-M, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki Malaysia (MHL), Liga Ragbi (MRL).

Artikel Berkaitan:

Ab Ghani memberitahu, pasukan teknikal MFL akan melakukan pemeriksaan serta pemantauan di setiap venue perlawanan bagi melihat kesesuaian padang sebelum Liga-M dapat disambung semula.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, boleh dikatakan keadaan padang di stadium-stadium terlibat tidak terjaga berikutan tidak ada yang bekerja dalam tempoh tersebut.

“Jadi pihak MFL nak tengok semula sesuai atau tidak permukaan padang di stadium berkenaan selain kami juga mahu melihat fasiliti yang ada mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.