Rais tegur pemimpin senior UMNO utama isu rebut kerusi

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin senior dalam UMNO diminta lebih mengutamakan kepentingan dalam soal mempertahankan kuasa Melayu Islam berbanding isu perebutan kerusi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, mempertahankan kuasa Melayu Islam adalah penting bagi mengekalkan kerajaan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau terkilan apabila terdapat pemimpin UMNO langsung tidak menyebut soal kepentingan itu, malah seperti tidak menghargai kedudukan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Bab paling penting ialah mengekalkan kuasa Melayu Islam, tetapi UMNO tidak menyebut perkara itu. Penghargaan diberikan kepada mereka juga seperti tidak dihargai.

“Sepatutnya perlu diberikan markah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau memberi tempat kepada mereka. Setakat ini, perkara itu nampak tidak menjadi hal.

“Walaupun (UMNO) daripada parti yang kalah tetapi ia mendapat kedudukan hebat dan puluhan (jawatan) GLC (dalam syarikat berkaitan kerajaan). Jadi saya tidak faham kenapa,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu perebutan kerusi Parlimen daripada Bersatu yang mahu diambil semula oleh UMNO berpunca daripada kenyataan pemimpin Bersatu yang dikatakan telah disalahtafsirkan.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan mengambil semula kerusi Parlimen Mersing yang disandang oleh Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad daripada Bersatu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'UMNO akan ambil semula kerusi Mersing'