Berakhirnya kluster Covid-19 terbesar negara

Peserta perhimpunan Sri Petaling tampil sukarela membuat saringan Covid-19 seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa pada Mac lalu.
Peserta perhimpunan Sri Petaling tampil sukarela membuat saringan Covid-19 seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa pada Mac lalu.
A
A
A

PADA tanggal 11 Mac lalu, negara digemparkan dengan dua kes positif virus pembunuh koronavirus (Covid-19) yang merupakan kes jangkitan ke-131 dan kes ke-136 dalam negara. Kedua-dua mereka merupakan warga tempatan berasal dari Pahang dan Negeri Sembilan.

Hasil siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa dua individu itu merupakan peserta satu perhimpunan keagamaan yang telah diadakan di sebuah masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Rentetan itu, perhimpunan tersebut terus diisytiharkan sebagai Kluster Perhimpunan Sri Petaling dengan 3,375 kes positif iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat 8 Julai lalu.

Perhimpunan tersebut telah berlangsung dari 27 Februari sehingga 3 Mac dan dihadiri seramai 16,000 orang iaitu 14,500 warganegara Malaysia serta 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara lain.

Kluster Perhimpunan Sri Petaling dikatakan berpunca daripada individu dari luar negara dan kemudiannya menularkannya melalui aktiviti perhimpunan tersebut sebelum merebak ke seluruh negara.

Bagaimanapun selepas lebih empat bulan pasukan keselamatan negara berjuang dan Malaysia melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akhirnya mengumumkan berita gembira buat semua.

“KKM dengan sukacitanya memaklumkan kluster Covid-19 terbesar di Malaysia iaitu Kluster Perhimpunan Sri Petaling diisytihar tamat pada hari ini (8 Julai). Empat bulan berlalu sejak kluster ini mula dikesan dan hari ini tamatlah tempoh 28 hari sejak kes terakhir kluster ini dilaporkan iaitu kes ke-8,367 pada 11 Jun yang lalu.

“Hari ini sememangnya hari yang amat bermakna bagi negara yang telah kita harunginya bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengimbas kembali detik bermulanya perjuangan KKM, Noor Hisham menjelaskan momen yang tidak dapat dilupakan adalah mesyuarat penting dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjalin hubungan dengan pemimpin jemaah tabligh Sri Petaling dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Ini adalah permulaan perjalanan yang panjang bagi memulihkan Malaysia. Hari ini masanya telah tiba dan ia mengambil tempoh empat bulan perjuangan, air mata dan keringat, serta pergerakan pantas mengesan dan mengenal pasti kontak rapat sehingga berakhirnya kluster ini. Terima kasih kepada semua barisan hadapan atas pengorbanan anda,” katanya.

Dr Noor Hisham bersama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Yusuf sewaktu sidang video di antara KKM, Jakim dan pihak pengurusan Masjid Jamek Seri Petaling pada 15 Mac lalu.
Dr Noor Hisham bersama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Yusuf sewaktu sidang video di antara KKM, Jakim dan pihak pengurusan Masjid Jamek Seri Petaling pada 15 Mac lalu.

Bersyukur

Seawal kluster itu dikesan, biarpun pahit untuk ditelan, ramai menzahirkan rasa marah terhadap perhimpunan itu namun di sebalik cemuhan yang diterima, jemaah tabligh mempamerkan sikap tanggungjawab.

Apa yang ditunjukkan peserta perhimpunan itu menjadi pengajaran berguna buat semua rakyat Malaysia untuk turut tampil amanah dan bertanggungjawab selaras dengan tuntutan agama Islam.

Miftahul Ulum Sri Petaling, Ahmad Lufti Muharam yang bertindak sebagai Ketua Bahagian Pendataan Ijtimak ketika perhimpunan itu berlangsung berkata, apa yang berlaku adalah satu ujian daripada ALLAH SWT dan memerlukan kesabaran sangat tinggi.

“Syukur ya ALLAH, berakhirnya kluster Perhimpunan Sri Petaling. Pertama sekali pujian dipanjatkan kepada ALLAH SWT atas segala yang berlaku. Sebagai seorang beriman baik atau buruk semua ditadbir oleh ALLAH SWT.

“Secara umumnya kita bersyukur setelah lebih tiga bulan, Kluster Perhimpunan Sri Petaling tamat. Kegembiraan yang lebih utama adalah apabila orang Islam boleh kembali meneruskan amal ibadah dengan lebih sempurna.

"Madrasah dapat dibuka sekali gus pengajian tahfiz dan kitab dapat dibuat dengan lebih sempurna,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ahmad Lufti Muharam
Ahmad Lufti Muharam

Ahmad Lufti yang juga tenaga pengajar Fiqh dan Usul al-Fiqh di situ berkata, sebaik menerima arahan daripada pihak berkuasa, semua ahli jemaah yang hadir ke ijtimak diseru untuk mematuhi arahan saringan Covid-19.

“Cabaran awal apabila pihak atasan mengeluarkan data yang tidak tepat yang mengakibatkan suasana dan gambaran yang salah, namun ia kembali pulih apabila semua pihak mendapat data sahih daripada sumber sah oleh pasukan pendataan ijtimak.

“Oleh kerana pendataan peringkat negeri, kawasan, bahkan masjid sudah ada, maka kerja kami menjadi mudah ditambah dengan melantik wakil kawasan bagi memastikan rakan jemaah di kawasan mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Biarpun kluster terbesar itu telah berakhir, namun ia bukanlah bermakna kita bebas sepenuhnya daripada ancaman maut virus itu kerana banyak kes positif yang tidak bergejala.

Data daripada KKM pada 8 Julai lalu juga mendapati sebanyak 6,092 daripada keseluruhan 8,674 kes positif, adalah kes tidak bergejala manakala 2,282 kes lagi mempunyai gejala.

Justeru pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar menegaskan Malaysia masih belum selamat selagi negara tidak merekodkan angka sifar jangkitan.

“Apa yang dilakukan oleh KKM adalah yang terbaik pada masa itu dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 daripada kluster Perhimpunan Sri Petaling. Cuma kalau kita lihat apa yang dilaporkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, 70 peratus daripada jangkitan Covid-19 adalah tidak bergejala.

“Oleh itu kita tidak boleh leka dan terus berjaga-jaga. Nak buat kenduri, nak buka sekolah, kita kena ambil kira kebarangkalian itu. Kalau 1,500 orang, seorang kemungkinan positif, kemungkinan bakal berlakunya kluster baharu,” katanya.

Dr Sazaly Abu Bakar
Dr Sazaly Abu Bakar

Sazaly juga menambah mungkin KKM boleh memperbaiki lagi pendekatan untuk menghapuskan rangkaian sesuatu kluster dengan mempertingkatkan lagi jumlah saringan pada peringkat awal.

Mengambil contoh negara China, Sazaly menegaskan negara itu melakukan 300,000 saringan sehari bagi mencari pesakit yang ada kebolehjangkitan.

“Saya tidak nafikan mungkin ada kekangan sebab tak boleh buat dulu tetapi kita tengok bagaimana China menangani lonjakan kedua. Sama juga dengan Korea Selatan. Cara mereka menangani lonjakan kedua adalah dengan membuat saringan besar-besaran.

“Jika mereka pada peringkat awal telah menangani dengan membuat saringan lebih ramai, lebih tinggi, mungkin mereka boleh mengakhirinya dengan lebih cepat,” katanya.

Kluster Perhimpunan Sri Petaling

Jumlah hadir perhimpunan: 16,000 orang

Jumlah keseluruhan kluster dan kontak yang disaring: 42,023 orang

Jumlah positif Covid-19 bagi kluster Perhimpunan Sri Petaling: 3,375 orang

Peratusan daripada jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia: 38.9 peratus