Bayi 3 bulan derita pelbagai penyakit

Muhammad Aisy menggunakan tiub untuk minum susu.
Muhammad Aisy menggunakan tiub untuk minum susu.
A
A
A

JERANTUT - Walaupun dilahirkan cukup sifat, namun kompilasi penyakit yang dialami seorang bayi berusia 3 bulan di Simpang Kampung Paya Garok di sini menguji ketabahan seorang ibu.

Bayi berkenaan, Muhammad Aisy Dayyan Sapuan menghidap penyakit jantung berlubang, tulang belakang bengkok, masalah paru-paru dan tulang kaki selepas beberapa hari dilahirkan.

Anak ketiga Siti Nor Farhanis Mohamad Faudzi, 23, itu hanya menangis mungkin kerana menahan sakit.

Menceritakan masalah dihadapi, Siti Nor Farhanis berkata, dia terkejut apabila diberitahu doktor bahawa Muhammad Aisy mengalami penyakit jantung berlubang dan masalah bahagian anggota berkenaan.

"Pada ketika itu saya mula sedih, tertekan memikirkan kesihatan Muhammad Aisy. Luluh hati saya dibuatnya bila melihat penderitaan dilaluinya sejak dilahirkan.

"Ya-ALLAH, berat sungguh dugaan ini. Tapi saya reda dengan ketentuannya. Saya sentiasa berdoa supaya penyakitnya sembuh dan sihat semula seperti kanak-kanak lain," katanya di sini semalam.

ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin melihat keadaan Muhammad Aisy di Kampung Paya Garok, Jerantut yang diuji dengan pelbagai penyakit.
ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin melihat keadaan Muhammad Aisy di Kampung Paya Garok, Jerantut yang diuji dengan pelbagai penyakit.

Siti Nor Farhanis berkata, dia dan suaminya, Sapuan Zali, 32, perlu membawa Muhammad Aisy untuk mendapatkan rawatan susulan dan pemantauan pegawai perubatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh setiap dua atau tiga kali bulan.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang saya sedang menunggu keputusan doktor pakar untuk membolehkan dia menjalani pembedahan tulang belakang dan jantung.

"Sama ada boleh dibedah akan ditentukan menerusi temujanji pada 14 Julai ini bagi memaklumkan jumlah kos pembedahan," katanya.

Siti Nor Farhanis berkata, dia tidak dapat bekerja memandang Muhammad Aisy memerlukan jagaan rapi daripadanya dan berharap kepada pendapatan suami sebagai buruh kilang.

Siti Nor Farhanis menerima sumbangan daripada ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin yang menziarahi keluarganya di Kampung Paya Garok, Jerantut.
Siti Nor Farhanis menerima sumbangan daripada ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin yang menziarahi keluarganya di Kampung Paya Garok, Jerantut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) Jerantut, Nik Ahmad Tarmizi Nik Lam hadir melawat keluarga berkenaan semalam.

Mohd Zakhwan berkata, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan akan membantu Siti Nor Farhanis bagi meringankan penderitaan yang ditanggung.

"Hari ini (semalam), saya menyampaikan sumbangan peralatan kereta sorong dan 'baby-bouncer' bagi memudahkan pergerakan dan tidur termasuk keperluan dapur, lampin pakai buang dan wang tunai.

"Di samping itu, saya sudah maklumkan dan berbincang dengan pihak MUIP di sini bagi membantu menyalurkan bantuan perubatan untuk bayi ini," katanya.

Mereka yang ingin membantu Muhammad Aisy boleh menghubungi Siti Nor Farhanis menerusi talian 019-7855870.