MOM minta jangan langgar SOP

MOHAMAD NORZA
MOHAMAD NORZA
A
A
A

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa persatuan sukan kebangsaan (NSA) memanfaatkan kebenaran diberikan kerajaan dalam menganjurkan semula kejohanan dan pertandingan tempatan dengan memberikan keutamaan utama kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, pematuhan setiap NSA terhadap SOP yang dikeluarkan kerajaan secara tidak langsung membuktikan kesiapsediaan berterusan pertubuhan sukan kebangsaan dalam menyemarakan kembali aktiviti sukan negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"MOM mewakili ahli gabungan menyambut baik satu lagi perkhabaran gembira yang diumumkan pihak kerajaan untuk industri sukan tanah air hari ini.

"Biarpun begitu ingin saya tegaskan bahawa kebenaran pihak kerajaan ini perlulah disambut NSA dengan disiplin tinggi terhadap pematuhan SOP ditetapkan dalam usaha berterusan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini.

"Disiplin tinggi dalam kalangan atlet dan pegawai setiap NSA juga penting dalam usaha menghindari berlaku sebarang kluster dalam sukan masing-masing," katanya.

Kerajaan bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan bagi aktiviti sukan tidak membabitkan sentuhan fizikal tanpa kehadiran penyokong.

Pada masa sama Norza juga berterima kasih kepada kerajaan yang memberikan lebih banyak kelonggaran kepada penganjuran aktiviti sukan pada Fasa Tiga dan Fasa Empat ini.

"Terima kasih khas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican atas inisiatif dalam menyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi merealisasikan usaha mendapatkan kebenaran daripada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Komitmen berterusan kementerian yang dilakukan secara bersistematik setelah mendapat maklumbalas daripada setiap NSA dan akar umbi amat dihargai," katanya.

Norza juga berharap pengumuman ini juga akan disahut dengan cabaran positif dalam kalangan pengendali dan pemilik kemudahan sukan bagi mengharungi norma baharu industri sukan tempatan.

Jelasnya, pentadbir sukan perlu lebih kreatif dan inovatif dalam usaha menghidupkan aktiviti sukan di pelbagai platform digital walaupun penganjuran kejohanan dibenarkan tanpa melibatkan penonton.

Dalam perkembangan sama, Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, badan induk badminton itu juga akan memanfaatkan sepenuhnya keputusan kerajaan dalam meningkatkan semula prestasi pemain badminton tempatan.

"Kebenaran ini juga memberi peluang kepada BAM untuk menilai semula prestasi pemain-pemain badminton melalui penganjuran liga tempatan selepas hampir empat bulan tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

"Ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada pengiat sukan dan pemilik pemilik akademi serta gelanggang badminton untuk memulakan penganjuran kejohanan tempatan," katanya.