Warga emas mati terbaring dalam rumah

Anggota bomba menggunakan peralatan khas membuka pintu yang terkunci dari dalam untuk menyelamatkan warga emas yang ditemukan terbaring dalam biliknya di Taman Skudai Baru, Johor Bahru hari ini.
Anggota bomba menggunakan peralatan khas membuka pintu yang terkunci dari dalam untuk menyelamatkan warga emas yang ditemukan terbaring dalam biliknya di Taman Skudai Baru, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam rumahnya di Taman Skudai Baru di sini hari ini.

Warga emas berkenaan, Zaiton Ismail, 75, tinggal seorang diri di rumah berkenaan kerana anaknya bekerja di Singapura.

Kejadian disedari jiran sebelah rumah berkenaan pada pagi tadi apabila Zaiton tidak muncul di hadapan rumah seperti biasa. Ini kerana, setiap hari warga emas itu akan duduk depan rumah dan bersembang dengan jirannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Riduan Akhyar berkata, disebabkan timbul rasa tidak sedap hati, jiran sebelah rumahnya itu memanggil warga emas berkenaan tetapi tidak dijawab.

Malah, panggilan telefon Zaiton juga tidak berjawab menyebabkan jirannya menjenguk ke rumah warga emas itu apabila tetap tidak keluar ketika waktu tengah hari.

"Jiran itu kemudian meninjau warga emas tersebut dari luar rumah sebelum melihatnya terbaring tidak sedarkan diri di dalam biliknya.

"Dia membuat panggilan bomba pada jam 3.57 petang meminta bantuan untuk menyelamatkan mangsa. Seramai 11 anggota dari BBP Skudai diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Che Deris dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu rumah warga emas itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemeriksaan pembantu pegawai perubatan yang hadir mengesahkan Zaiton sudah meninggal dunia.

Menurut Mohamad Riduan, mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan operasi tamat pada jam 4.05 petang.