Benarkah orang Melayu miskin?

A
A
A

SEBENARNYA beberapa hari ini ada perkara yang membuatkan saya berfikir. Ia berlaku secara spontan apabila saya melihat perkara yang terjadi dan ia tidak berlandaskan fakta tetapi cetusan emosi sahaja. Walaupun begitu, bak kata pepatah orang bijaksana kita, fikir itu pelita hati sebenarnya.

Minggu lalu saya pulang ke kampung di Terengganu setelah beberapa lama tidak pulang terutama hari raya. Cadangnya hendak pulang Hari Raya Aidiladha nanti, namun setelah berfikir, saya berasakan elok pulang segera sebelum buka sekolah.

Lagipun anak-anak merengek untuk berjumpa Tok Wan menuntut duit raya. Sambil-sambil itu bolehlah juga bercuti. Jangkaan saya bila pulang awal, tidaklah perlu menempuh kesesakan jalan raya tetapi saya silap.

Walaupun bukan pada hari cuti umum, kereta berpusu-pusu menuju ke pantai timur. Saya sebenarnya bergerak dari utara melalui Gerik, Jeli dan seterusnya ke Kuala Terengganu.

Perjalanan dari Gerik sehingga Jeli memang banyak kereta. Tidak saya sangka sama sekali. Bak kata pepatah Melayu moden pula, ku sangka dua, rupanya tiga. Begitulah yang terjadi, namun saya menempuh perjalanan dengan sabar.

Seterusnya saya memilih untuk melalui jalan Pantai Penarik untuk menikmati pemandangan indah pantai dengan air laut membiru dan damai. Selain itu juga berhenti untuk makan di kedai makanan laut yang dicelup tepung.

Nah, di sepanjang kedai, penuh dengan pengunjung menikmati udang dan sotong celup tepung. Saya bercadang untuk memilih kedai yang tidak ramai orang. Lagipun saya cuba untuk tidak bersesak pada waktu wabak ini.

Pemandangan kedai yang penuh dengan pengunjung untuk mengisi perut sekali lagi menghasilkan lintasan soalan dalam benak fikiran saya. Soalan yang masih tidak mempunyai jawapan.

Artikel Berkaitan:

Setelah berhenti menikmati makanan, saya meneruskan perjalanan dan sampai di kampung pada jam 3 petang. Syukur dapat sampai dengan selamat. Letih sungguh badan rasanya.

Esoknya saya sekeluarga ke Pasar Payang pula. Isteri ingin membeli serunding yang menjadi kegemarannya dan keropok lekor yang dipesan kawan-kawan.

Di Pasar Payang, sekali lagi persoalan ini berlegar dalam fikiran saya untuk terus berfikir. Kedai emas penuh sesak dengan orang ramai. Katanya harga emas murah waktu ini. Saya cuba menjenguk-jenguk. Hanya sekadar menjenguk kerana itu sahaja yang termampu.

Sesak

Lagipun saya cuba mematuhi penjarakan sosial yang pada pendapat saya saat itu memang sudah tidak ada pematuhan lagi. Semuanya sibuk tawar-menawar harga terbaik untuk membeli emas.

Akhirnya saya mengajak isteri untuk terus pergi dari situ setelah selesai urusan membeli barang yang diperlukan. Selain penuh sesak di Pasar Payang, di tepi jalan pun penuh sesak dengan rakyat jelata sedang memilih durian.

Saya sebenarnya tidak makan durian dan untuk kali ketiganya, persoalan yang sama menerjah pemikiran saya sekali lagi untuk mencari jawapan yang tetap tidak pasti.

Setelah pulang dari Terengganu baru-baru ini, saya terbaca pula dalam Sinar Harian tentang saranan untuk kerajaan mengkaji semula paras kemiskinan rakyat Malaysia terutama dalam kalangan rakyat bumiputera.

Saya sempat membaca sepintas lalu yang dinyatakan oleh Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan bahawa peratusan kemiskinan dalam kalangan orang Melayu adalah lebih tinggi berbanding kaum lain.

Beliau juga membentangkan fakta dalam bentuk peratusan yang diambil daripada statistik e-Kasih yang mengenal pasti di Kelantan sehingga 16 Februari 2017 mempunyai rakyat miskin paling tinggi.

Sekali lagi persoalan yang sama sejak beberapa hari menjengah ke dalam fikiran saya tanpa jawapan, benarkah orang Melayu miskin? Sehingga hari ini, sekadar melihat akan apa yang ada di depan mata, saya masih belum mendapat jawapan lagi.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com