Rukun Negara ideologi kebangsaan

A
A
A

AGAK lama kita tidak mendengar apa-apa perbincangan tentang Rukun Negara. Kalaulah ditanya kepada generasi sekarang, mereka pasti menjawab Rukun Negara sebagai ‘teman sampingan’ kepada jadual sifir di kulit belakang buku latihan sekolah. Itupun kalau bukan sebab ‘terpaksa’ menghafal sifir, barangkali mereka pun tidak sedar kewujudannya di situ.

Jadi, apabila kelmarin kerajaan berhasrat mahu menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyediakan satu modul Pendidikan Rukun Negara sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara, ia amat dialu-alukan walaupun timbul sedikit kekecewaan dan ralat.

Sebabnya mudah. Jelas selepas 50 tahun Rukun Negara diwujudkan, ia masih hanya sekadar bait-bait kata yang dihafal tanpa sebarang penghayatan terhadap falsafahnya yang sebenar.

Sebab itu, apabila Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, Tun Abdul Razak (yang ketika itu mengetuai Majlis Perundingan Nasional (NCC), badan yang bertanggungjawab menggubal Rukun Negara) dengan tegas menyatakan bahawa rahsia kesempurnaan Rukun Negara ialah pada amalannya. Tanpa amalan, Rukun Negara hanya akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna. Begitulah seriusnya beliau terhadap Rukun Negara ketika itu.

Persoalannya, kenapa sebelum ini tidak ada usaha atau inisiatif bagi memastikan Rukun Negara benar-benar hidup dan diamalkan? Berat sangatkah lima prinsip dalam Rukun Negara itu untuk diamalkan sehingga perlu menubuhkan pasukan petugas dan ada modul khusus? Yang paling mustahak ditanya, mengapa Rukun Negara masih belum mampu menjadi sebuah alat perpaduan bagi membentuk negara bangsa?

Jadi apa masalahnya? Dilihat ada kontradiksi dalam konteks falsafah Rukun Negara sebagai sebuah ideologi kebangsaan. Ia berlaku dalam perspektif Rukun Negara direka berdasarkan kepada konsep ‘negara-bangsa’ tetapi menggunakan kerangka budaya.

Pemahamannya mudah. Jika dibandingkan di Indonesia, Singapura atau Thailand, ideologi kebangsaan di negara-negara itu dibentuk berdasarkan kerangka negara-bangsa. Sebab itu Pancasila di Indonesia misalnya, berjaya menenggelamkan elemen budaya yang menonjolkan perkauman dan menjadikan mereka lebih ‘Indonesia’ berbanding menjadi Jawa, Batak, Bugis, Sunda ataupun Madura.

Jika dilihat, Rukun Negara yang wujud sebagai alat perpaduan kaum dengan lima prinsip utamanya bertindak sebagai pemandu hala tuju hubungan antara kaum yang rencam tidak begitu berkesan dalam mencapai matlamatnya.

Artikel Berkaitan:

Kelemahan itu dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjelaskan gagasan Bangsa Malaysia dalam sebuah wacana di Yayasan Kepimpinan Perdana tahun 2009.

Menurut beliau, hal itu berlaku disebabkan Rukun Negara hanya bertindak sebagai sebuah kerangka yang menyasarkan peningkatan perkongsian dalam kalangan rakyat Malaysia, sedangkan perkongsian itu tidak membawa kepada proses asimilasi jangka panjang yang membolehkan mereka ‘bersatu atas sesuatu’ yang lebih faktual dan praktikal dengan kerencaman kaum di Malaysia.

Penyatuan itu mestilah datang daripada kemahuan dan komitmen semua kaum yang mengiktiraf kewujudan kepelbagaian dan sentiasa memikirkan kepentingan pihak lain.

Benar, kita perlu menggiatkan lagi usaha menyemarakkan penghayatan prinsip dan nilai yang terkandung dalam Rukun Negara tetapi ia harus bermula dengan matlamat yang jelas dan praktikal dalam kerangka yang betul serta komitmen kerajaan yang tegas dan ikhlas.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)