Dua beradik melecur dalam kebakaran meninggal dunia

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Dua beradik wanita yang melecur seluruh badan akibat insiden kebakaran rumah di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat dekat sini petang semalam meninggal dunia pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, G Nirmala Dewi, 39, meninggal dunia pada jam 11.43 pagi manakala adiknya G Malini pada jam 5.34 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini.

Menurutnya, dua lagi anak lelaki Nirmala Dewi berusia dua dan 12 tahun, serta pembantu rumah mereka warga Myanmar berumur 50 tahun melecur dalam insiden kebakaran itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik melecur dalam kebakaran

Beliau berkata, bagaimanapun anak sulungnya yang mengalami lecur lima peratus telah dibenarkan keluar hospital, manakala yang lainnya masih dirawat.

"Kejadian pada kira-kira jam 4.00 petang semalam dikatakan bermula apabila dua beradik itu bertengkar, dan si kakak membakar diri selepas menyimbah petrol, manakala si adik cedera semasa cuba untuk memadamkan kebakaran.

"Wanita itu dikatakan sering murung, malah sering bertengkar dengan ahli keluarganya yang lain berkaitan dengan masalah penyakit misteri yang dialaminya," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam insiden semalam, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 petang.

Kebakaran itu hanya memusnahkan 15 peratus bahagian bilik utama rumah berkenaan.- Bernama

Artikel Berkaitan: