Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bukan hanya lindungi isteri

Kelab Rotary Ipoh Selatan melancarkan Kempen Mencegah Keganasan Rumah Tangga di Klinik Kesihatan Greentown, Ipoh hari ini.
Kelab Rotary Ipoh Selatan melancarkan Kempen Mencegah Keganasan Rumah Tangga di Klinik Kesihatan Greentown, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Bukan sahaja golongan isteri menjadi mangsa, malah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Perak mendedahkan terdapat kes keganasan rumah tangga membabitkan golongan suami di negeri ini.

Pengarahnya, S Kavaramma berkata, statistik menunjukkan terdapat laporan melibatkan golongan suami yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Beliau berkata, golongan lelaki juga sebenarnya boleh mendapatkan perlindungan menerusi Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Ada kes melibatkan lelaki yang dilaporkan media seperti cedera dipukul atau ditumbuk wanita. Tetapi biasanya lelaki tidak buat laporan atau tidak maklum secara umum kepada orang lain.

“Bagaimanapun akta ini memberi perlindungan terhadap kedua-dua pihak. Bukan untuk wanita sahaja tetapi terpakai kedua-duanya. Namun, kes seperti ini tidak ramai sebab ramai ambil pendekatan ‘jaga tepi kain sendiri’,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Mencegah Keganasan Rumah Tangga di Klinik Kesihatan Greentown di sini hari ini.

Kavaramma
Kavaramma

Hadir sama, Presiden Kelab Rotary Ipoh Selatan, Pathma Dewi dan Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim.

Sementara itu, Kavaramma berkata, Kempen Mencegah Keganasan Rumah Tangga perlu digerakkan lebih meluas agar dapat memberi perlindungan kepada mangsa yang diperlakukan secara emosi dan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Melihat pada kes-kes yang ada, mangsa tidak berani melaporkan kepada polis kerana takut kehilangan tempat bergantung dan tidak mahu menanggung malu dengan menganggap ini masalah peribadi.

“Dengan adanya badan bukan kerajaan (NGO) seperti Rotary dan lain-lain banyak membantu kempen ini dan JPW sendiri berfungsi memberi program kesedaran kepada masyarakat,” katanya.