Mahkamah tiada kuasa arah pendakwa raya tarik balik pertuduhan

Tengku Maimun (kiri) pada majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman hari ini. Foto: Bernama
Tengku Maimun (kiri) pada majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah tidak mempunyai peranan dan kuasa untuk mengarah atau mendesak pendakwa raya untuk mengemukakan pertuduhan atau menarik balik pertuduhan terhadap mana-mana pihak dalam kes jenayah, kata Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, mahkamah juga tidak boleh memaksa dan mendesak pendakwa raya untuk meneruskan perbicaraan di mahkamah sekiranya pendakwa raya telah memutuskan untuk memberhentikan atau menarik balik sesuatu pertuduhan itu.

"Ini adalah kedudukan undang-undang negara kita," katanya dalam ucapan pada majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan pesuruhjaya kehakiman di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini hari ini.

Katanya, hanya kerana terdapat pihak ketiga tertentu yang tidak bersetuju dengan keputusan pihak pendakwa raya untuk tidak meneruskan dengan pertuduhan yang telah dikemukakan di mahkamah, ia tidak bermakna bahawa mahkamah atau hakim-hakim telah bersikap tidak jujur, bersekongkol, berpihak kepada mana-mana golongan tertentu atau terlibat dengan amalan rasuah.

"Adalah sangat mendukacitakan dan amat membimbangkan apabila sejak kebelakangan ini, badan kehakiman telah dikecam bertubi-tubi hanya kerana pendakwa raya, dalam melaksanakan kuasa budi bicara muktamadnya di bawah Perkara 15 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan, telah memutuskan untuk menarik balik beberapa pertuduhan dalam beberapa kes yang berprofil tinggi," katanya.

Tengku Maimun berkata, keputusan tersebut hanya boleh dibuat oleh pendakwa raya sahaja dan tidak oleh pihak-pihak yang lain, termasuklah mahkamah.

Katanya, tuduhan melulu tanpa apa-apa asas terhadap mahkamah dan para hakim akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan institusi Badan Kehakiman yang diberi amanah untuk mengadili pertikaian secara bebas, saksama dan berdasarkan undang-undang.

Beliau menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam memberikan apa-apa ulasan mengenai pengendalian kes-kes di mahkamah, terutamanya ulasan-ulasan yang menyentuh integriti para hakim.

Artikel Berkaitan:

"Percayalah, mahkamah tidak berpihak kepada mana-mana orang atau kumpulan tertentu dan hanya berpihak kepada undang-undang dan keadilan. Ini adalah sumpah yang sentiasa dihayati oleh para hakim," katanya.

Ketua Hakim Negara berkata, sekiranya terdapat hakim yang disyaki terlibat dengan amalan rasuah, pihak yang mempunyai maklumat tersebut perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan dan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang dapat diambil.

"Perlu diambil ingatan bahawa kita sekarang berada dalam arus teknologi di mana sesuatu perkara boleh disebarkan dengan cepat dan meluas. Oleh itu, apa-apa jua yang ditulis di media sosial akan tersebar ke seluruh pelusuk negara dan juga akan tular ke seluruh dunia.

“Pembaca tidak mempunyai cara untuk mengesahkan kesahihan perkara yang ditulis dan akan menganggap apa-apa yang dituliskan di media sosial itu adalah benar,” katanya.

Dalam ucapannya, Tengku Maimun menegaskan, Badan Kehakiman tidak pernah mengambil pendirian bahawa hakim-hakim tidak boleh dikritik sebaliknya bersedia menerima teguran yang membina terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

"Badan Kehakiman adalah bertanggungjawab kepada masyarakat dan apa-apa kritikan yang membina boleh meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan tugas-tugas kehakiman," kata beliau.

Bagaimanapun, katanya kritikan tersebut hendaklah dibuat dengan jujur dan secara berhemah dalam batasan undang-undang.

Tengku Maimun berkata, para hakim tidak boleh memilih pertikaian yang mereka mahu dengar di hadapan masing-masing.

"Kami mengadili semua kes yang dikemukakan di hadapan kami. Kami, dengan itu terikat untuk mendengar kes yang menarik perhatian umum dan yang melibatkan tokoh politik, daripada pihak kerajaan mahupun daripada pihak pembangkang," katanya.

Menurutnya, para hakim tidak boleh membuat keputusan berdasarkan pandangan popular orang awam tetapi membuat keputusan berdasarkan keterangan kes dan undang-undang.

Beliau berkata, realitinya adalah walaupun hakim bersikap adil dan tiada kaitan langsung dengan politik dan menjauhi dunia politik, keputusan dibuat mereka akan dilihat daripada perspektif politik atau dikaitkan dengan politik, kerana malangnya, persepsi awam terhadap Badan Kehakiman dicorakkan oleh landskap politik.

"Sehubungan itu, kami perlu bersedia untuk diawasi orang awam dan bersedia untuk menelan segala dakwaan yang menyakitkan, tidak adil dan tidak berasas terhadap kami, sekiranya keputusan kami tidak selari dengan pendapat orang awam," katanya.- Bernama